PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi 20 daripada 56 kerusi di Selangor termasuk merampas 15 kerusi daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti lain pada pilihan raya negeri (PRN).
Percaturan itu berdasarkan kejayaan mereka memenangi enam kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.
Jangkaan itu PN akan memenangi 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di keenam-enam kerusi Parlimen tersebut.
PN juga dijangka menambah dua lagi kerusi iaitu DUN Jeram dan Kuang yang sebelum ini disandang oleh Parti Pejuang, menjadikan jumlah 15 kerusi.
Jika Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan Pas dapat mempertahankan lima kerusi yang disandang sejak 2018 serta merampas kerusi dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), PN akan meraih sehingga 20 kerusi pada PRN akan datang.
Realitinya, gabungan politik itu perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi bagi meraih majoriti mudah untuk merampas Selangor.
PN ketika ini hanya menyandang lima kerusi meliputi empat kerusi Bersatu dan satu kerusi milik Pas sekali gus menunjukkan bahawa selain perlu mempertahankan lima kerusi itu, mereka perlu menambah sembilan kerusi untuk meraih majoriti mudah.
Sebab itu, PN mengharapkan kehadiran bekas-bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin dapat membantu menawan lebih banyak kerusi pada PRN akan datang.
Namun, PN berdepan beberapa cabaran getir untuk meraih majoriti kerana jika kerjasama antara PH dan BN berhasil, gabungan undian yang diraih antara kedua-dua gabungan politik itu akan jauh meninggalkan undian yang diraih oleh PN.
Malah, Bersatu berdepan risiko kehilangan dua kerusi iaitu DUN Gombak Setia (Parlimen Gombak) dan DUN Bukit Antarabangsa (Parlimen Ampang) selepas kedua-dua kerusi Parlimen di kawasan tersebut dimenangi oleh PH.
Pas pula dijangka menjadi penyumbang terbanyak kepada kemenangan kerusi PN pada PRN kali ini selepas memenangi satu sahaja kerusi pada 2018 iaitu DUN Sijangkang yang disandang oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika di bawah gabungan Gagasan Sejahtera.
Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, Pas dan Bersatu hampir memuktamadkan pembahagian kerusi di negeri ini apabila masing-masing dijangka bertanding 18 dan 19 kerusi.
“Pembahagian kerusi sudah hampir muktamad dan pimpinan PN di peringkat pusat dijangka mengumumkan perkara tersebut tidak lama lagi. Boleh dikatakan lebih 90 peratus selesai. PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Selangor.
“PN juga akan bertanding menggunakan logo PN di semua kawasan, sama ada Pas, Bersatu atau Gerakan, kita akan gunakan logo PN,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN










