Perkenal syarat baharu wajibkan pemaju bina rumah mampu milik

Perkenal syarat baharu wajibkan pemaju bina rumah mampu milik-PM

ANWAR Ibrahim bergambar besama penduduk pada majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Dalur Madani di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dasar sedia ada yang mewajibkan pemaju hartanah memperuntukkan sebahagian daripada projek pembangunan mereka untuk pembinaan rumah mampu milik akan dikaji semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan melihat dasar itu seolah-olah tidak ‘berjalan’ mengikut jadual dan skala yang diperlukan daripada pihak pemaju.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan memperkenalkan beberapa syarat baharu yang lebih ketat kepada pemaju bagi memastikan peruntukan pembinaan projek perumahan mampu milik benar-benar dilaksanakan.

“Saya telah meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk melihat semula dasar itu dan mengenakan syarat baharu.

“Kenapa mesti kerajaan hanya menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat sedangkan kita ada pemaju yang membina projek besar? Ini kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab mereka untuk membina (perumahan mampu milik),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Dalur di Presint 18 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kira-kira 200,000 unit rumah berharga RM300,000 dan ke bawah diperlukan untuk memenuhi permintaan perumahan penjawat awam di seluruh negara.

Di Putrajaya ketika ini, terdapat hampir 10,000 unit rumah di bawah inisiatif projek perumahan penjawat awam.

Terdahulu, pelancaran projek PPAM Madani Dalur dibangunkan Perbadanan Putrajaya menerusi pemaju TRC Land Sdn. Bhd. yang mempunyai sejumlah 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 1,000 dan 1,200 kaki persegi.

Menerusi kenyataan Perbadanan Putrajaya, harga jualan yang ditawarkan adalah tidak melebihi RM260,000 seunit iaitu lebih rendah daripada harga pasaran tidak termasuk kos nilai tanah di Putrajaya.

Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini diperuntukkan kepada kuota bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan B40.

Pembangunan PPAM Madani Dalur ini turut merangkumi kemudahan seperti surau, sudut bacaan al-Quran, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.

Sehingga kini, sebanyak 9,480 unit PPAM yang melibatkan 11 tapak projek pembangunan di Presint 5, 6, 11, 16, 17 dan 18 siap dibina sepenuhnya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.

Objektif utama projek pembangunan PPAM Madani adalah untuk menyediakan perumahan mampu milik bagi kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan dalam usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa dengan persekitaran selamat, sihat dan sejahtera.

Ia juga selaras ke arah mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) di Wilayah Persekutuan yang menekankan keperluan pemilikan rumah berasaskan kepada keperluan dan kemampuan penduduk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya