Perhimpunan UMNO 2023 dijangka panas

Perhimpunan UMNO 2023 dijangka panas

Pekerja penyelenggaraan melakukan persiapan akhir semalam menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTC, Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula malam ini sehingga Sabtu ini dijangka panas dan cukup penting sebagai platform akar umbi meluahkan rasa terpendam mereka khususnya berkaitan hala tuju parti dalam mengembalikan semula sokongan orang Melayu selain kerjasama dengan DAP.

Akar umbi sudah pastinya ingin mengetahui ke mana Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membawa UMNO kembali menjadi parti sandaran orang Melayu selepas kehilangan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, pada masa ini, akar umbi dilihat masih belum jelas hala tuju dan perancangan pemulihan UMNO dalam menarik kembali sokongan orang Melayu.

Selain itu, katanya, akar umbi juga dilihat masih belum selesa dengan kerjasama UMNO dan DAP dan bertambah buruk apabila parti tersebut menjemput sekutu mereka itu ke Perhimpunan Agung UMNO.

“Perhimpunan Agung UMNO kali ini dilihat penting dan menjadi masa untuk suara-suara akar umbi meminta pucuk kepemimpinan memberi penjelasan khususnya berkaitan hala tuju UMNO, usaha menarik semula sokongan orang Melayu dan kerjasama dengan DAP.

“Selain itu, penjelasan sebelum ini berkaitan memberi undi kepada DAP dan sebagainya yang ternyata mengundang ketidakselesaan akar umbi UMNO.

“Kenyataan sebelum ini seperti memberi undi kepada parti-parti dalam kerajaan termasuk DAP bukan mudah untuk mereka ikut dan menerimanya,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan PAU 2023 bermula hari ini bakal mencipta sejarah apa­bila menyaksikan pemimpin parti­-parti politik yang mem­bentuk kerajaan perpaduan ter­masuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir.

DAP yang pernah berseteru selama puluhan tahun dengan parti yang berteraskan perjuangan Melayu dan Islam itu juga akan hadir sebagai tetamu khas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, selain Anwar dan pe­mimpin parti komponen dalam kerajaan perpaduan, ia akan tu­rut disertai 19 parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, Ahmad Zahid yang dilihat membawa naratif UMNO kekal dalam kerajaan perpaduan bukan hanya setakat penggal ini, sekali gus dilihat menjejaskan usaha ke arah membangunkan semula kekuatan parti tersebut.

“Akar sudah pastinya ingin mendapatkan penjelasan hala tuju UMNO sama dengan kekal selamanya dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

“Sejak kekalahan dalam PRU15 dan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), masih belum jelas pelan pemulihan parti. Ia sekali gus mengundang keresahan akar umbi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga melihat tidak mustahil akar umbi memberi tekanan kepada pucuk kepemimpinan khususnya presiden berhubung perkara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN