Penunggang motosikal dilanggar Volvo dikesan

Penunggang motosikal dilanggar SUV Volvo sedang dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu siasatan dilakukan polis berhubung kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo dan sebuah motosikal yang tular sejak semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 petang itu, siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kereta itu memaparkan  kenderaan SUV jenis Volvo itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal.

“Motosikal terlibat kemudiannya terbabas, bagaimanapun tidak dipastikan keadaan penunggang kerana setakat ini tiada laporan polis yang dibuat berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pemandu Volvo tersebut kemudiannya tampil membuat laporan polis berhubung kejadian pada Isnin kira-kira pukul 12.12 tengah hari.

“Pemandu berumur 51 tahun itu kemudiannya diambil keterangan untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.

“Polis kini dalam usaha mengesan penunggang motosikal terlibat dan meminta penunggang berkenaan tampil untuk membuat laporan polis,” jelasnya.

Menurutnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera berhubung dengan pihak polis.

“Segala maklumat dapat disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor R.Navalan di talian 014- 2536820.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN