Penduduk Orang Asli hadapi masalah internet lemah

Penduduk Orang Asli hadapi masalah internet lemah

PENDUDUK Orang Asli terpaksa berada berhampiran dengan alat pemancar Jendela bagi mendapatkan internet yang disediakan kerajaan di Kampung Ber, Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seramai 150 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Ber, Pos Tuel di sini berharap perkhidmatan jalur lebar yang lemah di kawasan perkampungan mereka dapat dinaik taraf.

Dakwa mereka, pertambahan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan penduduk menyebabkan perkhidmatan atau kuota internet di kawasan itu menjadi perlahan sehingga menyukarkan mereka untuk berkomunikasi.

Seorang penduduk, Asu Jenang, 60, berkata, penduduk kampung bersyukur apabila pihak kerajaan sudah menyediakan perkhidmatan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang membolehkan mereka mengakses internet.

Menurutnya, bagaimanapun mereka masih tidak dapat berhubung menggunakan talian telefon kerana pencawang talian telefon terletak agak jauh iaitu Kampung Tuel, Pos Tuel.

“Sekarang kami hanya bergantung kepada talian internet untuk berhubung termasuk menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Akses internet semakin perlahan kerana kuota yang ada tidak mencukupi. Malah ketika hujan lebat internet juga langsung tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu Penghulu Kampung Ber, Razak Rongging, 41, memberitahu, penduduk sangat berharap supaya perkhidmatan jalur lebar di kawasan itu dapat ditingkatkan kualitinya.

“Kami sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana menyukarkan kami untuk berhubung dengan saudara mara di luar kawasan kampung untuk bertanya khabar.

“Selain itu, kami juga bermasalah untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya berlaku kecemasan terutama pada waktu malam kerana sepenuhnya menggunakan perkhidmatan internet,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, berkata, pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk berkenaan masalah talian internet di kawasan pedalaman daerah ini.

Katanya, pihaknya turut menerima aduan gangguan internet dan telefon di kawasan pedalaman seperti di Kampung Kuala Betis serta pos pedalaman seperti di Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Balar.

“Saya mendapat aduan daripada penduduk kampung dan pemimpin tempatan serta pegawai kakitangan kerajaan berkenaan capaian internet di kawasan Kampung Ber.

“Kita tahu capaian internet ini sangat penting untuk berhubung. Masalah ini juga melibatkan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop yang sentiasa terganggu.

“Saya telah bawa masalah ini kepada pengetahuan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil baru-baru ini dan berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta pegawai yang terlibat dapat memberi lebih perhatian kepada kawasan pedalaman,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN