TUMPAT: Penduduk tiga kampung iaitu Kok Bedollah, Sungai Pinang dan Jubakar Pantai di sini mendakwa masih dibelenggu masalah asap tebal dari tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedollah walaupun hujan lebat pada waktu petang sejak dua hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati Kampung Kok Bedollah yang sebelum ini sibuk bertukar menjadi sunyi selepas penduduk membuat keputusan untuk berpindah ke inap desa selain berkurung di dalam rumah.
Seorang penduduk, Hasnah Jusoh, 53, berkata, kepulan asap tebal masih lagi mengganggu urusan mereka sehingga menjejaskan rutin harian.
“Tapak pelupusan sampah itu masih lagi terbakar, asap masih ada dan masuk ke dalam rumah.
“Walaupun sebelah petang hujan, tetapi ia tidak banyak membantu untuk padamkan api di tapak pelupusan sampah yang terbakar itu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kok Bedollah di sini semalam.
Hasnah memberitahu, buat masa ini dia dan keluarga terpaksa berpindah ke inap desa yang disediakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran Mohd Adanan Hassan sejak lima hari lalu.
“Malam kami tidur di inap desa, siang hari pulang ke rumah untuk urusan harian kerana ramai yang bekerja sebagai petani dan bekerja sendiri,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Habsah Mat Daud, 63, pencemaran asap tebal itu menyebabkan dia mengalami batuk dan sukar untuk bernafas.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia banyak berkurung di dalam rumah sejak seminggu lalu.
“Siang hari asap kurang kerana ditiup angin ke arah lain tetapi waktu malam agak kritikal kerana asap berkumpul di kawasan perkampungan kami,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd Anuar Yacob berkata, kerja-kerja memadam api sudah berjalan sejak Khamis lepas.
Katanya, usaha memadam kebakaran sudah ditingkatkan dengan lebih agresif bagi memastikan ia dapat selesaikan dalam masa terdekat.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penduduk di tiga kampung di sini mendakwa menderita selepas terpaksa menghidu bau asap dari tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar di Kampung Kok Bedollah yang terbakar sejak beberapa hari lalu.
Dakwa penduduk asap tebal tersebut telah menjejaskan rutin harian mereka sehingga terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah bagi mengelakkan asap daripada masuk. -UTUSAN