JEMPOL: Pemilik selimut yang digunakan oleh pencuri dalam kejadian di Surau Kampung Indah, Bahau, di sini, pagi semalam merupakan antara dua orang suspek yang berjaya ditangkap polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah menerima laporan polis sekitar 9.21 pagi semalam daripada pengadu iaitu seorang lelaki yang merupakan imam di surau berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang suspek telah masuk ke dalam surau dengan berselubung disyaki menggunakan sehelai kain.
“Bertindak atas maklumat dan laporan yang dibuat oleh pengadu, kira-kira pukul 8.45 malam, polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki dan merampas sehelai kain selimut.
“Kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini sehingga 25 Jun untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati terdapat seorang lagi suspek masih bebas yang merupakan suspek utama kejadian ini. Suspek yang masih bebas telah masuk ke dalam surau dengan menggunakan kain selimut yang di ambil di rumah salah seorang suspek yang telah ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mohd. Hafiz lagi, polis menyeru kepada semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan atau suspek untuk tampil bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan pihaknya memberi jaminan semua maklumat yang diperoleh akan disiasat dengan teliti.
Terdahulu, media melaporkan kelibat seorang pencuri menggunakan selimut untuk menyembunyikan identiti berjaya dirakam CCTV Surau Kampung Indah, Bahau, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian tersebut, seorang warga emas, Abdul Rahman Salimap, 68 menyedari begnya tiada dan kehilangan dokumen penting termasuk kad bank serta wang tunai RM150 selepas beg silang miliknya di curi lelaki ‘berselimut’ ketika solat subuh di surau itu.-UTUSAN.