Pemandu kudung, harap bantuan ibu bapa urus diri, anak-anak

Pemandu kudung, harap bantuan ibu bapa urus diri, anak-anak

MAS IMRAN ADAM menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur kepada keluarga Mohd. Shazwan di rumahnya di Taman Bukit Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kehidupan seorang pemandu lori berubah dalam sekelip mata selepas kehilangan kaki kanan akibat terbabit dalam kemalangan pada April lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bukit Tiram, di sini.

Dalam keadaan itu, Mohd. Shazwan Md. Garip, 42, tidak mampu menguruskan dirinya sendiri apatah lagi menguruskan lima orang anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Dia kini terpaksa bergantung harap kepada ibu bapanya setelah tinggal bersama mereka sejak berpisah dengan isterinya setahun yang lalu.

“Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pasir Gudang, motosikal yang dinaiki telah dilanggar sebuah kereta seterusnya kereta tersebut telah menggilis kaki saya. Saya dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan, malangnya doktor gagal menyelamatkan kaki saya kerana banyak urat terputus. Mereka mengambil keputusan untuk memotong kaki hingga paras bawah lutut.

“Walaupun luka pembedahan saya sudah sembuh dan saya mampu bergerak dengan menggunakan alat sokongan, namun saya masih tidak dapat mengurus diri, anak-anak mahupun memandu,” katanya, di sini.

Detik hitam yang menimpa diri membuatkan Mohd. Shazwan hilang pekerjaan dan pendapatan bulanan kira-kira RM3,000 dan kini mereka sekeluarga bergantung dengan pencen bapanya, Md. Garip Abu Hassan, 77, yang merupakan pesara tentera, manakala ibunya, Zawiyah Ahmad, 70, turut membantu menguruskannya serta menjaga anaknya berusia antara tiga hingga 14 tahun.

“Saya sangat terharu dengan pengorbanan ibu bapa saya, walaupun sudah berusia namun tetap kuat semangat menjaga kami sekeluarga. Walaupun mereka penat dan tidak cukup tidur, namun mereka gagahkan juga bagi memastikan kami tidak terabai.

“Setiap hari rutin mereka bukan sahaja memasak malah menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta membantu kami dalam urusan berbeza, hanya Allah mampu membalas jasa baik mereka,” katanya.

Mohd. Shazwan kini dalam proses memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan keselamatan sosial pekerja (Perkeso).

Sementara itu, Pengurus Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam terpanggil untuk membantu keluarga berkenaan dengan menyampaikan sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB milik Mohd. Shazwan 7041324727 atau menghubungi talian 0123258614 atau 010-8955792. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN