Pelancong, peniaga sempadan lebih gemar simpan baht dari ringgit

Pelancong, peniaga sempadan lebih gemar simpan baht dari ringgit

PENGURUP wang dan peniaga di Padang Besar, Perlis mendakwa turut terkesan dengan kelemahan ringgit sehingga menjejaskan perniagaan mereka. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pelancong dan peniaga di sempadan negara, di sini lebih cenderung menyimpan matawang baht Thailand berbanding ringgit Malaysia.

Kebanyakan pengurup wang di negeri ini memberitahu, nilai ringgit yang lemah menyebabkan sambutan menyimpan ma­tawang tersebut dingin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, kebanyakan peniaga memberitahu mereka risau akan mengalami kerugian jika nilai ringgit terus lemah.

“Sebagai contoh, kadar tukaran RM1 bersamaan 7.4 hingga 7.5 baht berbanding 10 tahun lalu sekitar 100 baht dan sejak daripada itu nilai mata wang tidak pernah mencecah melebihi nilai tersebut.

“Mata wang kita pernah mencecah tukaran RM1 kepada 10.21 baht sekitar Jun 2014 dan ia adalah paras tertinggi pernah dicatat dalam tempoh satu dekad dan selepas itu tidak pernah berlaku lagi,” katanya di sini, semalam.

Pada masa ini nilai ringgit didagangkan RM4.59 berban­ding satu dolar Amerika Syarikat.

Menurut sumber, selepas 2014, nilai ringgit terus merosot berbanding matawang negara jiran yang semakin bertambah baik dan terus mengukuh.

Katanya, keadaan itu turut mempengaruhi keuntungan pe­ngurup wang di negeri ini di­sebabkan tindakan orang ramai menukarnya melalui pengurup wang tidak berlesen terutama di kawasan sempadan.

Dalam pada itu, tinjauan dan pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, terdapat beberapa wanita dipercayai dari negara jiran setia menanti pelancong Malaysia di pintu keluar sempadan Thailand di Padang Besar.

Mereka menawarkan untuk menukar semula mata wang baht ke ringgit pada nilai 1,000 baht kepada RM140, namun kurang mendapat sambutan daripada orang ramai.

Menurut seorang pelancong dari Kedah yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita, dia mengambil keputusan untuk terus menyimpan wang tunai dari negara jiran itu kerana yakin boleh menggunakan pada masa hadapan.

Katanya, dia mengambil keputusan tidak menukar semula kepada ringgit kerana memudahkannya untuk ke negara tersebut tanpa perlu bersusah untuk menukar dengan pengurup wang tempatan.

Dalam pada itu, kebanyakan peniaga di Padang Besar, Thailand pula lebih suka berurusan menggunakan baht kerana mendakwa nilai mata wang Malaysia tidak stabil dan menyukarkan mereka untuk berniaga.

Malah, rata-rata peniaga di sebelah sempadan Malaysia juga akan menukarkan hasil jualan dalam ringgit ke baht kerana mereka perlu membeli produk atau barangan niaga yang dikeluarkan di Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×