PARLIMEN: Saya faham tugas media, tapi hormati siasatan PAC

PARLIMEN: Saya faham tugas media, tapi hormati siasatan PAC -Mas Ermieyati 

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengakui media tidak terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memperuntukkan sebarang keterangan dijalankan dalam prosiding tidak boleh disiar sesiapa. 

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, peraturan tersebut hanya terpakai kepada ahli PAC atau ahli Dewan Rakyat sahaja.  

Bagaimanapun, katanya, pelaporan media dalam mendedahkan intipati keterangan dianggap sebagai ‘mengganggu’ siasatan, sebelum rumusan akhir dan syor-syor PAC dapat dilengkapkan dan dibentang di Parlimen. 

“Sebenarnya, ia mengganggu aliran siasatan PAC. Saya faham tugas media dalam mendapatkan sumber berita, tetapi, saya berharap, media menghormati kami dan PAC akan bentangkan laporannya. Jadi, sama-samalah kita menghormati satu sama lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini. 

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya mengambil serius jika ada dalam kalangan ahlinya termasuk ahli Dewan Rakyat menyiarkan sebarang keterangan dokumen yang dikemukakan kepada PAC sebelum laporannya dibentang kepada Dewan Rakyat. 

“Ini jelas melanggar peraturan mesyuarat. Oleh itu, saya menyeru semua pihak mendapatkan perkembangan prosiding dari PAC sendiri dan hormati siasatan dengan tidak mendapatkan berita daripada sumber tidak sahih,” katanya. 

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, kerajaan mengambil keputusan mengurangkan pembinaan LCS daripada enam kepada lima buah atas alasan menjimatkan kos.

Menurut sumber, tiga saksi memberi keterangan bahawa kerajaan membelanjakan pertambahan kos RM2.2 bilion atau RM11.2 bilion daripada RM9 bilion harga kontrak sebelum ini.

“Saksi berkenaan menjelaskan bagaimana kerajaan boleh menyimpulkan ini adalah alasan lebih rasional, sebab itulah mereka datang menjelaskan kepada PAC,” kata sumber ketika dihubungi. 

Sabtu minggu lalu, tiga saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam prosiding PAC berhubung kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) difahamkan bagi menjelaskan alasan kerajaan membuat perjanjian baharu dengan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS). 

Tiga saksi berkenaan ialah Ketua Pengarah syarikat pembinaan kapal Boustead Naval Shipyard (BNS), Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir. Azhar Jummat.

Selepas laporan itu diterbitkan, PAC menyatakan kekesalan kerana ia dikatakan menganggu siasatan, rumusan dan syor PAC. Selain itu, PAC mendakwa ia melanggar Peraturan 85, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mas Ermieyati sebelum ini menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai pelanggaran itu untuk mendapatkan panduan lanjut.

Pengamal undang-undang berpendapat, peruntukan itu hanya terpakai kepada ahli PAC atau ahli Dewan Rakyat dan media tidak terikat untuk melaporkan intipati prosiding dijalankan bersama saksi-saksi keterangan.

PAC sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada BNS secara rundingan terus. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya