KUALA LUMPUR: Tidak sempat untuk Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengajukan soalan berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan Menteri Besarnya, pembangkang kemudian bangkit membantah soalan itu daripada ditanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pembangkang berpendapat, soalan Guan Eng yang berada di senarai pertama dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) bercanggah dengan Perkara 23 (1)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat, yang mana soalan itu mengandungi sangkaan tidak baik dan bersifat dangkal.
Ahli Parlimen Beluran dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kemudian mempersoal Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul jika beliau mengambil kira kesesuaian soalan itu selaras dengan peraturan yang ditetapkan.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang lain termasuk Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim turut menyokong bantahan berkenaan.
Ronald: Adakah Tan Sri ambil kira perkara ini?
Johari: Saya perhatikan soalan ini dan membuat keputusan bahawa soalan ia tidak bercanggah dengan apa yang Yang Berhormat sebut tadi.
Ronald: Yang Berhormat, nampak soalan ini soalan pilihan raya negeri, ia tidak sepatutnya dikeluarkan dalam dewan.
Johari: Biarlah Perdana Menteri jawab dalam dewan dan ia tidak bercanggah.
Sebelum itu, Guan Eng meminta Perdana Menteri menjelaskan tindakan akan dikenakan ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang supaya negeri itu boleh dikembalikan kepada Kedah.
Beliau berkata, ia dilihat memecah belahkan perpaduan dan menimbulkan keresahan rakyat Pulau Pinang, malah mengancam keselamatan dalam negara.
Ronald kemudian merujuk Perkara 23(1)(c) bahawa sesuatu pertanyaan Ahli Parlimen tidak boleh mengandungi hujah, sangkaan, fikiran, tomahan, pujian atau kejian, mengandungi kalimah atau sindiran atau menyakitkan hati dan apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri tidak mempunyai sempadan. Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja. -UTUSAN