Parkir tanpa tunai susahkan penduduk keluar-masuk

Parkir tanpa tunai susahkan penduduk keluar-masuk

GAN Ay Ling (enam dari kanan) bersama penduduk dan peniaga membantah pelaksanaan parkir tanpa tunai di Arked Niaga Padang Besar, Perlis yang bermula sejak 1 Mei lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Lebih 300 penduduk dan peniaga di Arked Niaga Padang Besar di sini terkesan dan seolah-olah terperangkap di kediaman sendiri dengan pelaksanaan parkir tanpa tunai mulai 1 Mei lalu.

Selepas pelaksanaan tersebut, penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan sering berdepan masalah untuk keluar dan masuk sehingga menjejaskan operasi harian mereka.

Seorang pemilik premis di kawasan itu, Abdul Razak Abdul Rahim, 36, berkata, penduduk dan peniaga terlibat sememang­nya membantah pelaksanaan itu berikutan parkir tanpa tunai berkenaan beroperasi 24 jam.

“Palang berpagar itu ditutup 24 jam setiap hari dan ia sewajar­nya dibuka selepas waktu operasi perniagaan bagi memudahkan penduduk untuk keluar masuk.

“Sewajarnya operator pengurusan mengenakan caj bermula pada pukul 9 pagi sehingga 7 malam memandangkan selepas waktu itu, sudah tiada pengunjung di ruang niaga ini,” kata­nya.

Menerusi kaedah baharu itu, pengunjung boleh menjelaskan caj parkir kenderaan mereka secara tanpa tunai dengan bayaran RM3 bagi sebuah ken­deraan menerusi beberapa platform antaranya Touch ‘n Go.

Peniaga di sini pula akan diberi pas bermusim dengan dikenakan bayaran RM30 sebulan manakala penduduk pula RM15 sebulan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, pihak operator juga tidak membenarkan pembelian pas bermusim kepada pemilik premis perniagaan yang mempunyai ramai pekerja.

“Sebuah premis hanya diperuntukkan dua pas bermusim dan situasi ini menyukarkan pemilik yang mempunyai ramai pekerja sekali gus membebankan mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN