Pahang catat GPN 4.57 melebihi GPK

Pahang catat GPN 4.57 melebihi GPK

MOHAMAD Rosli Abdul Rahman ketika ketika mengumumkan keputusan SPM 2022 negeri Pahang, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di Kuantan, Pahang. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang mencatatkan rekod Gred Purata Negeri (GPN) memberansangkan sebanyak 4.57 peratus bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang tetapkan iaitu 4.74 peratus.

Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman, berdasarkan pencapaian tersebut seramai 397 pelajar yang berdaftar di negeri ini mendapat semua A dalam peperiksaan SPM 2022.

Menurutnya, seramai lapan calon mendapat semua A+ dalam mata pelajaran diambil berbanding hanya seorang tahun lalu manakala seramai 389 calon memperoleh A (Gred A+, A dan A-) lulus dalam semua mata pelajaran.

“Di negeri ini seramai 17, 567 calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun lalu.

“Seramai 16,704 calon telah mengambil peperiksaan di 201 pusat peperiksaan ditetapkan.

“SPM tahun lalu merupakan kohort kedua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan format peperiksaan baharu,” katanya.

Beliau berkata kepada media ketika mengumumkan keputusan SPM 2022 negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Rosli berkata, seramai 112 calon berkeperluan khas (CBK) menduduki peperiksaan tahun ini dengan 15 daripadanya mendapat sekurang-kurangnya 5A berbanding hanya lima tahun lalu.

Jelasnya, seramai 729 calon Orang Asli menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut seramai 35 calon Orang Asli mendapat sekurang-kurangnya 5A dan seorang berjaya memperoleh 10A.

“Rata-rata calon pelajar Orang Asli berjaya menunjukkan prestasi yang membanggakan,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, di negeri ini sebanyak 10 buah sekolah mencatatkan pencapain terbaik yang mana tiga daripadanya merupakan sekolah berasama penuh dan tujuh lagi adalah sekolah harian.

Katanya, prestasi tahun 2022 begitu memberansangkan apabila sekolah yang berada di luar bandar juga boleh mendapat pencapaian terbaik sama seperti sekolah berasrama penuh. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN