Mohd. Zafir dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Mohd. Zafir dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (kiri) menyaksikan angkat sumpah Mohd. Zafir sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Datuk Mohd. Zafir Ibrahim, 53, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa semalam.

Pelantikan beliau yang berasal dari Tampin itu bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Razali Ab Malik yang bersara pada 6 Januari lalu.

Beliau mengangkat sumpah dan menandatangani simpan rahsia di hadapan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin dalam pada itu berkata, pelantikan Mohd. Zafir itu sudah tentu akan membantu dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri termasuk ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang akan dibubarkan tidak lama lagi.

“Beliau pastinya akan dapat membantu dengan meneruskan agenda dan memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

“Datuk (Mohd.) Zafir sebelum ini bertugas di Kementerian Kewangan dan pastinya beliau akan dapat membantu dan meningkatkan keadaan ekonomi di Negeri Sembilan ini, saya yakin dengan pasukan yang ada sekarang, negeri ini mampu ditadbir dalam keadaan teratur, insya-Allah,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd. Zafir pula berkata, beliau bersyukur di atas pelantikan berkenaan dan berterima kasih kepada Menteri Besar di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada dirinya.

“Insya-Allah saya akan berusaha dalam mengetuai jentera perkhidmatan awam di Negeri Sembilan ini, membantu kerajaan negeri khususnya dalam memastikan segala agenda, visi, misi dan aspirasi kerajaan negeri termasuk kerajaan Persekutuan dapat direalisasikan khususnya dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkelulusan Ijazah Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan), Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini bertugas Setiausaha, Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun di Kementerian Kewangan 

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 21 Mac 1994 dan berpengalaman luas hampir 29 tahun dalam perkhidmatan awam dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi, pengurusan kewangan serta hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya