SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum baginda berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji.
Beliau berkata, bagaimanapun masih menunggu perkenan Sultan Selangor untuk menerima menghadap bagi membincangkan perkara tersebut.
“Mereka (Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang) mungkin sudah menghadap Duli Tuanku (ketua negeri masing-masing). Saya kena menghadap tuanku (Sultan Sharafuddin) bagi menyatakan tarikhnya dan Tuanku akan memperkenankannya.
“Tiada rancangan lagi (datang menghadap), saya tunggu masa untuk menghadap. Kalau tidak sempat, saya akan pergi ke Madinah.
“Namun, kita cuba elakkan dan dapatkan masa menghadap sebelum tarikh baginda berangkat ke Tanah Suci,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan forum Selangor Mobility, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tarikh pembubaran DUN memandangkan Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin difahamkan akan berangkat menunaikan haji pada minggu depan.
Sebelum ini, tarikh pembubaran DUN bagi PRN di tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diumumkan iaitu masing-masing pada 22, 28 dan 30 Jun ini.
Dalam perkembangan berlainan, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan peluang adil diberikan terhadap kerusi-kerusi kepada gabungan PH dan Barisan Nasional bagi PRN nanti.
Tambahnya, pihaknya juga akan berbincang dengan gabungan PH dan Barisan Nasional (PH) sama ada pada hari atau esok berhubung tiga kerusi DUN yang belum selesai.
“Strateginya senang iaitu calon boleh menang. Kalau kita bertanding (kerusi) banyak namun kebolehan menang kita rendah sebenarnya tidak beri kesan baik kepada kita.
“Kita sebagai keluarga dan gabungan Kerajaan Perpaduan serta masing-masing perlu berbesar hati bagi menang PRN dengan majoriti mudah dan selesa,” jelasnya. -UTUSAN










