SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua pihak tidak membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad.
Baginda bertitah, ia perlu dibincangkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.
Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah, baginda sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar İbrahim yang menghadap dan menyembah taklimat mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes baru-baru ini.
“Beta menyatakan pandangan yang turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong perkara itu perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras fungsi menasihatkan Raja-Raja Melayu menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.
“Ia melibatkan sensitiviti agama yang perlu dimuktamadkan segera oleh kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda dalam kenyataan oleh Istana Alam Shah, semalam.
Titah baginda, Perdana Menteri bersetuju membawa isu itu kepada MKI Ogos ini.
“Beta percaya pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah.
“Semua pihak diseru menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor mahu penyelesaian isu itu dibuat secara berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain mengamalkan agama mereka.
“Beta juga menyeru semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu itu lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad kelak.
“Ini bagi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi,” tegas baginda.
Anwar dalam kenyataan semalam berkata, beliau menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri, Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.
Justeru, beliau sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










