Lima remaja lelaki baling batu di lebuh raya ditahan polis - Utusan Malaysia

Lima remaja lelaki baling batu di lebuh raya ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima orang remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes insiden membaling batu ke arah sebuah lori di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Senawang di sini, Isnin lalu seperti yang tular di media sosial telah berjaya ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kelima-lima suspek berusia 14 hingga 15 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Seremban.

“Hasil operasi dan maklumat, pada pukul 5 hingga 7 petang semalam sepasukan Anggota Respon Team Balai Polis Senawang telah berjaya membuat tangkapan ke atas lima lelaki untuk siasatan lanjut bersabit kes baling batu di lebuh raya berkenaan.

“Tiga tangkapan dibuat di Bandar Seremban Selatan dan dua tangkapan di Taman Seremban Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, kesemua suspek masih bersekolah iaitu tiga suspek berusia 14 tahun manakala dua suspek lagi berusia 15 tahun.

“Permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat di mahkamah hari ini,” katanya.

Semalam pihak polis mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden membaling batu ke arah sebuah lori di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Utara Selatan di sini kelmarin seperti yang tular di media sosial.

Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berusia 32 tahun telah membuat laporan polis lebih kurang pukul 8.14 malam kelmarin menyatakan cermin hadapan lori miliknya telah dibaling objek kayu dan batu semasa sedang melalui lebuh raya berkenaan.

Suspek dipercayai empat orang lelaki telah melarikan diri ke arah semak samun berdekatan lebuh raya berkenaan. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN