Lelaki mengamuk selepas pekerja restoran enggan panggil

Lelaki mengamuk selepas pekerja restoran enggan panggil ‘abang’, ‘baby’

Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Tindakan seorang pekerja restoran enggan memanggil pelanggannya dengan gelaran manja ‘abang’ atau ‘baby’ menyebabkan lelaki berkenaan bertindak mengamuk dengan membaling beberapa biji kerusi serta menendang meja di sebuah restoran sekitar Putra Height, dekat sini, Ahad lalu.

Bukan itu sahaja, lelaki yang bertindak agresif itu turut menjerit serta membaling bungkusan dan minuman panas sehingga terkena pada seorang kanak-kanak berusia empat tahun, namun didapati tiada kecederaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengusaha restoran terbabit setelah video kejadian itu tular dalam media sosial, hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian pada pukul 9 pagi itu berpunca daripada salah faham diantara pekerja mangsa dan suspek.

“Pekerja lelaki itu memanggil suspek dengan panggilan ‘pak cik’, tetapi suspek meminta pekerja itu memanggil dirinya dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’, namun, tidak diendahkan oleh lelaki itu.

“Setelah pekerja mangsa menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan oleh suspek, suspek terus bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun serta mengugut akan merosakkan harta benda kedai tersebut.

“Suspek bertindak membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, suspek juga membaling beberapa biji kerusi di dalam premis berkenaan dan juga menendang meja beberapa kali sehingga mendatangkan ketakutan dan gangguan kepada pelanggan lain yang berada di dalam restoran. 

Tambah beliau, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dilakukan.

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 506 / 352  Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta  supaya menyalurkan maklumat jika terlihat suspek melalui nombor telefon 03-78627100 Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor  G. Dinesh  di talian 011-33094457. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.