Keturunan Sulu dipergunakan golongan tertentu tuntut wang dari

Keturunan Sulu dipergunakan golongan tertentu tuntut wang dari Malaysia

AZALINA (dua dari kanan) ketika menghadiri Taklimat Pelaksaan Projek dan Lawatan Tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan melihat keturunan Sulu berkemungkinan hanya dipergunakan oleh segolongan tertentu dari negara barat bagi menuntut wang dari Malaysia. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ada pihak didakwa menyuruh membayar tuntutan yang tidak masuk akal itu melalui perolehan dari syarikat-syarikat di negara ini yang didakwa hak mereka.

Katanya, disebabkan itu kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar tuntutan itu dilawan secara berhabis habisan bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

“Saya melihat keturunan Sulu dipergunakan oleh segolongan tertentu di negara barat hanya untuk proses menuntut Malaysia bayar duit. Saya dengar ada orang cakap suruh syarikat-syarikat Malaysia yang banyak duit bayar sebab ini hak mereka, bagi saya tidak masuk akal.

“Oleh sebab itu, kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri memberikan arahan dan mesyuarat Kabinet beri arahan kita akan lawan berhabis-habisan sebab kita sebuah negara yang bebas merdeka ada maruah dan kedaulatan.

“Kita akan berhabis-habisan lawan tuntutan mereka. Kali ini saya beritahu peguam kita di sana kalau mereka kalah di mana-mana negara, kita tuntut kos supaya dia bayar balik ganti rugi kos kita. Saya betul-betul pantang, jangan dia pandang kecil pada negara Asia, terutama negara Melayu Islam, jangan dipandang kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek dan Lawatan Tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

Terdahulu, kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg. Malaysia kemudiannya menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.

Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Dalam pada itu, Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang mendedahkan peguam waris Sulu ada menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Saya juga dapat maklumat dua tiga hari lepas, peguam mereka tulis satu surat yang begitu biadap pada Tan Sri peguam negara dan saya dimaklumkan Tan Sri peguam sudah jawab. 

“Mereka masih berdegil dan pegang pada faktor mereka punyai hak bukan sahaja kepada Sabah, tetapi ada hak ke atas tuntutan supaya Malaysia bayar daripada AS$14 bilion campur faedah kepada AS$16 bilion.

“Itu sebab saya kata ini tahap lagi dasyat dari biadap, betul kurang ajar sebab tidak hormati kedaulatan negara. Ini bukan syarikat, Malaysia sebuah negara, kalau sebuah negara tuntutan jajahan ialah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bukan mahkamah timbang tara komersial,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.