Kestabilan politik tarik pelaburan ke Johor - MB - Utusan Malaysia

Kestabilan politik tarik pelaburan ke Johor – MB

ONN HAFIZ GHAZI (tiga kanan) menyampaikan sijil kepada peserta yang menghadiri 'Johor Business and Investment Forum' di Hotel DoubleTree, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Faktor kestabilan politik membolehkan negeri ini merekod kemasukan pelaburan asing tertinggi di negara tahun lalu, iaitu sebanyak RM70.6 bilion.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, Johor merupakan satu-satunya negeri yang stabil daripada sudut politik ketika ini.

“Dengan kestabilan politik pasca pilihan raya negeri lalu, hari ini Johor merupakan satu-satunya negeri yang stabil dalam aspek berkenaan dan itu membolehkan kita menggariskan perancangan jelas bagi pembangunan negeri.

“Menerusi inisiatif Maju Johor, kerajaan negeri memberi tumpuan dalam enam teras utama, iaitu Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar dan Orang Muda Johor,” katanya pada ‘Johor Business and Investment Forum’ di Hotel DoubleTree, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.

Onn Hafiz berkata, antara faktor lain termasuk lokasi yang tidak jauh dari Kuala Lumpur dan Singapura, kos diperlukan untuk membuat pelaburan lebih rendah dan juga faktor hartanah

“Kos bagi menjalankan sesuatu perniagaan di Johor adalah 30 peratus lebih murah berbanding di Kuala Lumpur dan 70 peratus lebih murah daripada Singapura,” jelasnya.

Sementara itu, Ting Han memberitahu, Johor yakin akan dapat mengulangi prestasi pelaburan direkodkan tahun lalu apabila menjadi negeri kedua tertinggi dengan kemasukan pelaburan asing bagi suku pertama tahun ini, iaitu sebanyak RM10.6 bilion.

“Maklum balas daripada pelabur asing adalah mereka yakin menjalankan perniagaan di negeri ini kerana kestabilan politik sekarang. Ini kerana banyak perkara, khususnya melibatkan tanah dan kebenaran merancang adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tempoh diperlukan bagi membuat sesuatu pelaburan baharu juga penting kerana mereka bimbang sekiranya ada pertukaran polisi jika politik tempatan tidak stabil seperti yang berlau pada tahun 2018. Itu komen yang kita terima daripada pelabur asing,” jelasnya. 

Ting Han turut memberitahu, pihaknya yakin Johor akan terus mengekalkan prestasi positif itu berdasarkan beberapa projek pembangunan ekonomi yang telah direncana ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN