KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan merekodkan sebanyak 48 kes seksual atau terlanjur melibatkan gadis berusia 18 tahun ke bawah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Said Sidup berkata, kes-kes yang dilaporkan juga membabitkan mangsa mengalami kehamilan luar nikah.
Menurutnya, berdasarkan rekod, sebanyak 26 kes terlanjur dilaporkan pada 2021 manakala tahun lepas dengan 45 kes.
“Kes yang dilaporkan ketika ini membimbangkan, namun masih terkawal. Faktor yang menyebabkan gadis-gadis terjerumus dalam kes itu antaranya disebabkan oleh kegagalan institusi keluarga, pendidikan agama, pengaruh luar dan penggunaan gajet,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pelancaran Buku Raudhah Sakeenah Kelantan ‘Sepancar Sinar, Segunung Harapan’ di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) di sini hari ini.
Said memberitahu, kebanyakan kes tersebut juga terjadi apabila mangsa menjadi mangsa kepada ahli keluarga sendiri selain suka rela dengan individu yang dikenali.
Katanya, tidak nafikan bahawa ada juga kes yang tidak dilaporkan oleh keluarga mereka kerana malu.
“Meskipun peratusan kes tidak terlalu besar berbanding negeri lain, namun kerajaan negeri berjaya mengawalnya kerana kita bimbang ia akan meningkat.
“Pelbagai langkah diambil kerajaan dalam menangani masalah tersebut termasuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak dan remaja di sekolah berkaitan masalah sosial yang berlaku pada masa ini,” ujarnya.
Said berkata, keluarga yang menghadapi masalah sedemikian dinasihatkan supaya melaporkan segera kepada JKM.
Katanya, mereka yang menjadi mangsa perlu diberi pemulihan dan dirujuk kepada pihak berkenaan sama ada mereka untuk kembali bersekolah atau bekerja.-UTUSAN










