Kerajaan terus lindungi aset daripada ancaman luar -Agong

Kerajaan terus lindungi aset daripada ancaman luar -Agong

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak sekali-kali berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara serta akan terus melindungi aset-aset negara daripada ancaman pihak luar.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Seri Paduka turut bersyukur dengan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada masa kini.

“Pertumbuhan ekonomi negara semakin meningkat dan mapan dengan kadar keluaran dalam negara melonjak sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun 2023.

“Pada hemat beta, negara kini berada di landasan yang tepat bagi menjayakan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” titah Seri Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraaan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pada masa sama, Seri Paduka bertitah kerajaan hendaklah menumpukan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat seperti digariskan dalam Belanjawan Madani 2023 dengan mengambil kira cabaran ekonomi global termasuk ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik Covid-19 dan krisis geo politik yang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Titah Al-Sultan Abdullah, agenda kesejahteraan rakyat termasuk meluaskan sistem jaringan perlindungan sosial bagi membendung isu peningkatan kos sara hidup perlu terus diberikan tumpuan.

“Beta berkeyakinan usaha-usaha berterusan kerajaan beta dalam melaksanakan ikhtiar dan meneroka strategi baharu yang berinovatif mampu memberikan kesan positif kepada sosial ekonomi rakyat beta,” titah Seri Paduka.

Agong turut berasa sukacita dan menyanjung tinggi komitmen kerajaan dalam menjalankan hubungan kerjasama yang baik dan erat dengan semua kerajaan negeri demi kemaslahatan rakyat.

Selain itu, Seri Paduka menyanjung tinggi peranan rakyat yang berjiwa besar dalam memastikan perpaduan dan keharmonian negara kekal terpelihara. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya