KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya perubahan besar berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan mentadbir dan melaksanakan pelbagai agenda perpaduan.
Oleh demikian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengajak anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu di perantauan agar fikirkanlah nasib ibu ayah yang tinggal di negeri-negeri berkenaan dengan menggunakan peluang Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memastikan angin perubahan berlaku.
“Banyak agenda pembangunan asas, terutama di Kedah dan Kelantan, memerlukan perubahan besar-besaran. Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam. Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba.
“Apakah mereka tidak diberi peluang? 33 tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi Menteri Alam Sekitar yang juga bertanggungjawab dalam soal air, air karat masih gagal ‘dijernihkan’. Karatnya air begitu jugalah karatnya hati mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Terdahulu, kata Ahmad Zahid, walaupun kerjasama antara UMNO dan parti-parti Kerajaan Perpaduan yang masih baharu dan pramatang iaitu berlaku sekitar tujuh bulan namun bakal diuji dengan enam PRN yang berlangsung pada masa terdekat.
Justeru, pihaknya mahu bertekad mahu mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di samping memecahkan penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Selain itu kata Timbalan Perdana Menteri, berusaha meningkatkan keberadaan UMNO dan Barisan Nasional bagi mencerminkan kebersamaan dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan pembahagian pentadbiran negeri mengikut parti-parti teras dalam kerjasama di enam negeri yang terlibat.
Katanya, UMNO memikul amanah yang amat besar kerana berhadapan dengan negerinegeri yang dikategorikan sebagai Jalur Melayu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membawa umat Melayu di negeri-negeri berkenaan, menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia. Kita tidak mahu negeri-negeri berkenaan diheret ke dalam fahaman politik yang memisahkan rakyatnya, daripada hakikat laman politik tanah air.
“Jika kita benar-benar mahu melihat Islam dan Melayu unggul, kebersamaan di dalam Kerajaan Perpaduan akan mengukuhkan agenda Islam Melayu yang sederhana dan progresif,” kata Ahmad Zahid.-UTUSAN