Kaji semula krisis pendidikan -Dominic

Kaji semula krisis pendidikan -Dominic

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara perlu dikaji semula berikutan kebimbangan berlaku krisis dan gagal menghasilkan modal insan berkualiti.

Menegaskan perkara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, langkah drastik perlu diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah di mana ia turut memperlihatkan pelajar lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) tidak berminat meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad, baru-baru ini menggesa pihak berkuasa untuk mengakui kegagalan ini. Ia turut disuarakan Majlis Profesor Negara dan Kumpulan Modal Insan bahawa Anuar juga menyatakan bahawa laporan awam, sama ada dari dalam negeri mahupun luar negara, secara konsisten menunjukkan kelemahan Malaysia dalam bidang pendidikan, namun masih terdapat kekurangan tindakan yang nyata untuk menangani isu-isu ini.

“Situasi ini bertambah buruk dengan pelajar tingkatan lima memilih untuk tidak meneruskan pengajian tinggi, berhenti sekolah, dan sejumlah besar gagal menamatkan peperiksaan SPM.

“Gerakan dengan tegas percaya bahawa kemerosotan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, terutama ketika dunia semakin memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkemampuan tinggi.

Untuk bergerak ke hadapan, adalah penting untuk jujur tentang kekuatan, kelemahan, dan bidang yang perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic dalam masa yang sama turut menegaskan KPM juga harus meneliti bidang-bidang yang perlu diperbaiki dan mengubah mata pelajaran sedia ada.

“Laporan oleh bank pelaburan Goldman Sachs memberi amaran tentang potensi penggantian 300 juta pekerjaan sepenuh masa di seluruh dunia oleh Artificial Intelligence dan Malaysia tidak terkecuali daripada trend ini. Laporan itu juga menunjukkan bahawa perkara ini boleh menghasilkan pekerjaan baharu dan ledakan produktiviti,” ujarnya.

Selaras dengan itu, segala perubahan dalam aspek pendidikan perlu dibuat dan mengkaji kembali jika terdapat pemansuhan yang harus dilakukan mengenai topik pembelajaran yang dilihat sudah tidak relevan lagi.

“Sistem pendidikan perlu mengurangkan kebergantungan pada pembelajaran hafalan dan sebaliknya memperkenalkan sukatan pelajaran yang seiring dengan keperluan masa depan. Usaha  juga harus dibuat untuk mempromosikan literasi digital sebagai alat untuk komunikasi dan penyelesaian masalah. Pelajar harus mahir dalam menilai maklumat dalam talian dan menggunakan alat digital untuk komunikasi dan inovasi yang efektif, termasuk pengkodan dan pembangunan aplikasi inovatif.

“Daripada memberi tumpuan kepada pembelajaran hafalan, sekolah harus menekankan projek kumpulan untuk memupuk kerja berpasukan, kemahiran persembahan dan pemikiran kritis ketika pelajar menghadapi soalan dari rakan sebaya mereka,” ujarnya.

Dalam hal ini juga, peranan ibu bapa juga adalah penting dalam menggembleng tenaga bersama pihak sekolah dalam berkongsi kepakaran untuk menghasilkan pelajar yang lebih berkualiti.

“Apabila ibu bapa mendaftarkan anak mereka di sekolah, mereka juga boleh mengisi borang tentang bagaimana mereka ingin menjadi sukarelawan untuk pelajar. Kumpulkan data tersebut dan bekerjasama dengan ibu bapa yang mungkin dengan sukarela ingin menjadi sebahagian daripada projek sekolah.” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN