Kaedah no right turn, atasi kesesakan di sembilan persimpangan

Kaedah no right turn, atasi kesesakan di sembilan persimpangan

KESESAKAN di Persimpangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan memperkenalkan kaedah no right turn dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di persimpangan lampu isyarat terutama pada waktu puncak.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti sembilan persimpangan untuk pelaksanaan kaedah itu.

Menurutnya, persimpangan tersebut adalah di hadapan Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Jalan Utama Masjid Tanah, Persimpangan Bandar Baharu Masjid Tanah dan Persimpangan Solok Duku.

Beliau berkata, turut terlibat adalah Persimpangan Sekolah Sains Alor Gajah, Persimpangan Jejambat Cheng Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA), Persimpangan Stadium Hang Jebat, Persimpangan Durian Tunggal dan Persimpangan MITC.

“Sebagai percubaan pertama kita akan tutup persimpangan lampu isyarat di Stadium Hang Jebat untuk melihat keberkesanan kelancaran trafik di situ.

“Kita akan mula sesi percubaan ini pada 3 Julai dan kita akan tengok kaedah ini dapat membantu supaya mereka dari Masjid Tanah yang hendak ke Bandar Melaka dapat berjalan lancar.

“Ini percubaan pertama kerana ada banyak lagi kawasan terutama dari Jasin, Alor Gajah dan Masjid Tanah menuju ke Bandar Melaka yang masih dalam kajian oleh pihak JKR,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pasca Exco Mingguan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.

Tambah Ab. Rauf, percubaan itu dilakukan adalah untuk mengetahui sama ada pelaksanaan no right turn memberi kesan kepada penduduk setempat.

“Hebahan akan dibuat kepada orang ramai tentang kaedah penyuraian itu sama ada ia boleh mengelak daripada berlakuknya kesesakan teruk serta menjimatkan masa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN