SEREMBAN: Semua pihak diminta untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung insiden letupan bom lempar yang mengorbankan dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalani latihan dalam kejadian di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan, sebarang spekulasi dilihat hanya akan mengguris perasaan ahli keluarga yang terlibat.
Tambah beliau, kejadian yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, itu akan diteliti sebaiknya oleh Lembaga Penyiasatan yang ditubuhkan TUDM terdiri daripada beberapa orang pakar khusus kepada pengendalian bahan letupan.
Katanya, hasil siasatan insiden itu nanti akan dimaklumkan kepada pihak keluarga yang sudah tentu mahu mengetahui punca ia berlaku.
“Saya minta supaya orang ramai jangan sampai melakukan spekulasi yang mengguris hati keluarga, mengguris hati orang yang terlibat. Tiada siapa yang mahu perkara ini berlaku.
“Siasatan akan dilakukan segera dengan kami memilih panel penyiasat yang terlatih terutamanya dalam bidang letupan kerana penyiasat mesti orang yang pakar dalam pengendalian bahan letupan untuk kenal pasti punca kemalangan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Istiadat Pengebumian Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi di Tanah Perkuburan Kampung Rawa, Lenggeng di sini, hari ini.

Allahyarham yang merupakan penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan di sini meninggal dunia di tempat kejadian ketika menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) Siri 78/23.
Jurulatih di institut yang sama, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33, pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat, semalam.
Seorang lagi jurulatih yang dilaporkan mengalami cedera dalam kejadian tersebut iaitu Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini masih menerima rawatan di hospital sama dan dalam pemantauan rapi serta dilaporkan dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) semasa latihan pengendalian senjata dan bahan letupan, Mohamad menegaskan SOP sedia ada sememangnya sudah diperakui ketat dan disediakan oleh pakar pengendali letupan.
“SOP memang ada, tetapi menggunakan senjata hidup ini terutama bom, memang SOP sedia ada ketat. Jurulatih memang terlatih, memang setiap pelatih tersebut akan diiiringi dengan jurulatih yang kerjanya adalah melatih pelatih untuk mengendalikan bahan-bahan letupan seperti ini.
“Kadang-kadang berlaku di luar bunker, ini di dalam bunker (kejadian semalam), jadi siasatan mesti dilakukan dengan teliti,” katanya lagi.-UTUSAN.