IPD Iskandar Puteri lupus barang kes RM375,166 - Utusan Malaysia

IPD Iskandar Puteri lupus barang kes RM375,166

RAHMAT ARIFFIN memandu 'steamroller' melenyek mesin bitcoin pada Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini melupuskan ribuan barang kes bernilai RM375,166 yang dirampas sejak 2012 hingga Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pelupusan barang kes itu melibatkan empat kategori, iaitu mesin bitcoin, rampasan penyeludupan, judi dan barang am. 

Beliau berkata, kes barang kes yang dilupuskan itu membabitkan 166 kertas siasatan yang telah selesai dan mendapat arahan daripada mahkamah untuk dilupuskan. 

“Bagi pelupusan barang kes am, ia melibatkan 27 kertas siasatan merangkumi barang seperti sampel kimia, sampel forensik, senjata tajam, telefon bimbit serta pelbagai jenis barang lain dengan nilai anggaran keseluruhan RM1,720.

“Kita turut melupuskan ratusan mesin yang digunakan ‘menuai’ bitcoin membabitkan enam kertas siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM163,200,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali.

Ariffin berkata, pihaknya turut melupuskan pelbagai barangan seludup seperti minuman keras dan rokok pelbagai jenama hasil rampasan bagi lapan kes yang direkodkan dengan nilai keseluruhan RM106,566 dan  rampasan kes perjudian seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain barang elektronik melibatkan 125 kertas siasatan yang berjumlah RM103,680.  

“Pelupusan barang kes yang diadakan ini dapat menjimatkan ruang penyimpanan di stor barang kes dan tiada sebarang isu yang berbangkit berkaitan barang kes yang dilupuskan ini.

“Selepas ini, kita akan mengambil tindakan drastik untuk menyelesaikan kertas siasatan yang melibatkan barang kes dari semasa ke semasa dan mengelakkan lambakan barang kes di stor IPD Iskandar Puteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya