Ibu tunggal antara mangsa ribut DUN Limbongan

Ibu tunggal antara mangsa ribut DUN Limbongan

NORZILAH Abdul Rahman menunjukan keadaan rumahnya tanpa atap selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kediaman yang dihuni oleh ibu tunggal bersama tiga ahli keluarga termasuk seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) antara 15 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan yang mengalami kerosakan selepas dipukul ribut petang semalam.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, bahagian dapur rumah Fatimah Salleh, 62, mengalami kerosakan teruk selepas dihempap sebatang pokok besar berhampiran kawasan rumahnya.

Fatimah berkata, selepas dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah dapur dia dan keluar terus menyelamatkan diri dengan berada di ruang hadapan kawasan rumah.

“Kami hanya mampu berdoa dan membaca ayat suci al-Quran agar ribut kencang reda. Apa yang kami utamakan ialah keselamatan diri. Nasib baik saya tidak memasak pada waktu itu.

“Ia adalah kejadian pertama dialami sejak mendiami rumahnya sejak 28 tahun lalu. Musibah ini saya anggap sebagai satu dugaan hidup yang perlu dihadapi dengan tabah,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Permatang Rambai, di sini hari ini.

Fatimah memberitahu, kejadian hujan bersama petir dan angin kuat berlaku serentak dalam tempoh 30 minit sehingga membuatkan dia dan keluarga berada dalam keadaan cemas.

Seorang lagi mangsa, Norzilah Abdul Rahman, 53, berkata semua ahli keluarga terpaksa berada kawasan beranda rumah selepas sebahagian atap rumahnya diterbangkan oleh angin kuat.

Katanya, situasi itu cukup menakutkan apabila melihat pusaran angin yang turut menumbangkan sebatang pokok bachang besar sehingga menghempap sebuah bangsal di hadapan rumah.

“Kejadian ribut dilihat reda selepas suami saya melaungkan azan di kawasan lapang hadapan rumah. Apa pun kami terpaksa tidur di ruang tamu kerana semua bilik tidur sudah berbumbungkan langit,” ujarnya.

Pesara tentera, Hamdan Ismail, 56, berkata semua sembilan ahli keluarga yang berada di dalam rumahnya terkejut apabila selepas terdengar sebatang pokok binjai berusia lebih 100 tahun menghempap sebahagian bilik tidur dan dapur rumahnya.

“Antara yang rosak ialah atap, kerangka kayu dan siling rumah yang perlu dibaiki dengan anggaran kasar kerosakan sebanyak RM6,000,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh, Kepten (PA) Nik Mohd. Nor Nik Mat ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan dari pusat kawalan operasi APM negeri dan orang awam berkaitan ribut untuk bantuan.

Menurutnya, 10 buah rumah di Kampung Permatang Rambai ditimpa pokok manakala dua kes yang membabitkan pokok tumbang di atas jalan raya dengan operasi bantuan segera membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota APM.

“Kita membersihkan pokok besar yang merintangi jalan kampung dan atas bumbung rumah penduduk bermula selepas magrib hingga ke pukul 11.59 malam tadi dan operasi yang sama disambung semula hari ini dengan dibantu penduduk setempat,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN