Hanya dua jam had parkir di Shah Alam

Hanya dua jam had parkir di Shah Alam mulai 3 Julai

Hanya dua jam sahaja dibenarkan parkir di Shah Alam mulai 3 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Orang ramai tidak lagi dibenarkan meletakkan kereta melebihi dua jam di 67 petak parkir sekitar bandar raya ini mulai 3 Julai ini.

Penguatkuasaan tersebut bagi memberi kemudahan kepada pelanggan di premis dalam kawasan terlibat meletakkan kenderaan mereka bagi mengunjungi kedai-kedai di sana.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Azhar Mohd.Sharif, terdapat pengguna menyalahgunakan kemudahan tersebut dengan meletakkan kenderaan di situ untuk bekerja di tempat lain.

“Kawasan tempat letak kereta yang terlibat adalah hotspot yang mana ramai orang ingin berurusan di kawasan tersebut.

“Kita ingin memberi peluang orang lain untuk menggunakan tempat letak kereta tersebut. Selepas sejam pengguna yang sama boleh meletakkan kereta di petak yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

MBSA dalam satu kenyataan sebelum itu memaklumkan pihaknya melaksanakan Pewartaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Shah Alam) (Pindaan) 2023 bagi pelaksanaan Tempat Letak Kereta Dua Jam.

Antara kawasan terlibat adalah Jalan Tengku Ampuan Zabedah D 9/D Seksyen 9 (enam petak), Jalan Pahat F 15/F Seksyen 15 (enam petak), Jalan Sepadu B 25/B Seksyen 25 (enam petak), Jalan Anggerik Vanilla N 31/N Seksyen 31(18 petak), Jalan Prima R U13/R Seksyen U13 (24 petak) dan Jalan Prima F U13/F Seksyen U13 (tujuh petak).

Dalam pada itu, Mohd. Azhar berkata, tiada pengurangan kompaun akan diberi bagi kesalahan seperti tidak membayar caj parkir di petak tersebut, melebihi tempoh atau kesilapan membayar jenis caj kereta.

Jelasnya, kadar kompaun adalah berdasarkan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta)(MBSA) 2007 iaitu dalam lingkungan RM30 sehingga RM100 berdasarkan tarikh kompaun.

“Orang ramai boleh menggunakan aplikasi seperti Smart Selangor Parking, Flexi Parking, GoPay, Jom Parking, Touch n’ Go eWallet dan Setel untuk membuat bayaran bagi tempat letak kereta di dalam kawasan pentadbiran MBSA,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN