KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk merawat 80 peratus daripada 33.2 juta penduduk terutama dalam kalangan berpendapatan rendah B40.
Kekurangan doktor pakar itu melibatkan pelbagai bidang antaranya pakar kardiotorasik (jantung), onkologi (kanser), perubatan paliatif (kanser), perubatan geriatrik (penyakit orang tua), neurosurgeri (otak), obstetrik (sakit puan) dan ginekologi serta psikiatri.
Akibat kekurangan tersebut, daripada 145 hospital kerajaan di seluruh negara hanya kira-kira 70 hospital ada khidmat doktor pakar manakala baki hospital menyediakan khidmat pakar secara lawatan ke hospital-hospital tersebut.
Semakan Utusan Malaysia terdapat lebih 60 hospital kerajaan tiada doktor pakar dan kebanyakannya di luar bandar dan pedalaman.
Rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 31 Disember 2022 mencatatkan Malaysia hanya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang masih berkhidmat di fasiliti kesihatan kementerian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, melihat kepada jumlah hospital kerajaan lebih separuh tidak menyediakan doktor pakar, menunjukkan Malaysia ketinggalan.
SISTEM
Oleh itu, melalui Kertas Putih Kesihatan diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan perlu mereformasi sistem kesihatan negara bagi meningkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan berkualiti.
“Sudah sampai masanya Malaysia sediakan doktor pakar di hospital-hospital. Kerajaan perlu mengenal pasti lokaliti memerlukan doktor pakar dan letakkan sekurang-kurangnya dua atau tiga doktor pakar mengikut disiplin perubatan masing-masing.
“Ada pesakit terpaksa bergerak dari kawasan pedalaman ke kawasan bandar untuk mendapatkan khidmat doktor pakar,” kata beliau.
Menurut beliau, isu kekurangan pakar di hospital kerajaan menyusahkan pesakit kerana mereka terpaksa mengembara jauh untuk mendapatkan rawatan.
Kata Zainal, contohnya pesakit di Hospital Semporna, Sabah dirujuk ke Hospital Tawau yang jarak kedua-dua lokasi melebihi 100 kilometer (km) dan mengambil masa hampir dua jam perjalanan.
KOS
“Kos perjalanan mungkin lebih RM100 naik kenderaan, sehala. Jika perlu merujuk ke hospital pakar utama di Kota Kinabalu jaraknya lebih 500km, pesakit perlu memandu lebih 10 jam atau menggunakan pengangkutan udara lebih mahal.
Difahamkan, kira-kira 80 peratus daripada 33.4 juta penduduk Malaysia terutama B40 yang jumlahnya 8.7 juta orang, menggunakan perkhidmatan kesihatan awam untuk mendapatkan rawatan.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, jika kerajaan tidak mampu mengisi kekosongan pakar perubatan di semua hospital kerajaan, namun paling tidak pun separuh hospital di setiap negeri perlu ditempatkan doktor pakar.
“Perlu ada nisbah, contohnya, jika sebuah negeri mempunyai 12 hospital kerajaan, sekurang-kurangnya enam daripadanya ada doktor pakar. Ini yang perlu ditumpukan, jangan fokus pada hospital besar dalam bandar sahaja.
“Ada kes pakar-pakar kita tidak mahu berkhidmat dengan kerajaan kerana penat terlalu ramai pesakit, jadi berilah insentif supaya kita tidak kehilangan mereka,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. R.R Muruga berkata, kebanyakan hospital peringkat daerah tidak mempunyai doktor pakar.
“Kita memerlukan lebih ramai doktor pakar terutama dalam bidang perubatan dalaman, pembedahan pediatrik serta obstetrik dan ginekologi kerana Malaysia terlalu kurang pakar untuk merawat rakyat.
“Ada juga beberapa kawasan di pedalaman Sabah dan Semenanjung orang awam terpaksa ke bandar atau pergi ke negeri lain untuk mendapatkan khidmat pakar,” katanya. – UTUSAN










