Hanya 172 koperasi terlibat pengeluaran agromakanan

Hanya 172 koperasi terlibat pengeluaran agromakanan

ABDUL FATTAH (tengah) menyantuni seorang ahli Koperasi Guru Melayu Selatan Berhad (Segumpas) selepas merasmikan mesyuarat agong ke-70 koperasi itu di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Hanya 172 daripada 15,315 koperasi di seluruh negara terlibat dengan aktiviti keterjaminan makanan walaupun sektor terbabit mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah itu terlalu kecil bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar import bahan makanan negara.

Tegasnya, gerakan koperasi perlu mempelbagaikan aktiviti perniagaan seperti pengeluaran makanan tanpa bergantung kepada satu produk demi mendapat perolehan lebih tinggi.

“Keterlibatan secara langsung koperasi dalam aktiviti pengeluaran makanan dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar import bahan makanan yang semakin menaik.

“Statistik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan nilai import makanan negara boleh mence­cah sehingga RM100 bilion men­jelang 2025 berbanding RM75.54 billion (2022) dan RM63.59 billion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus manakala RM55.4 billion pada 2020,” katanya di sini semalam.

Abdul Fattah berkata, pembabitan koperasi secara berskala besar dalam agro makanan berpotensi diteroka kerana sebahagian bahan yang diimport boleh ditanam di Malaysia.

Tambahnya, antara bahan makanan itu ialah sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, tenusu di samping tanaman bijirin seperti jagung untuk bahan makanan ternakan.

“Dalam hal ini, Angkasa sudah menandatangani nota kerjasama dengan Jabatan Pertanian seluruh negara bagi membimbing koperasi menceburi dalam aktiviti agromakanan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pertanian mempunyai kepakaran dan pangkalan data, tempat yang sesuai serta jenis tanaman dan ternakan untuk diusahakan secara berskala besar.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Fattah menyarankan 350 koperasi besar di Malaysia terlibat membantu usaha kerajaan mengurangkan import bahan makanan.

Menurutnya, kebanyakan koperasi besar ini berteraskan pembiayaan pinjaman peribadi kepada ahli dan perniagaan seperti ini semakin tepu.

“Dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan seperti terlibat dalam tanaman bahan makanan dan ternakan dapat merangsang perolehan koperasi sekali gus mengurangkan kebergantungan negara luar,” katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia berbangga dengan status negara sebagai syurga ‘makanan’ tetapi kebanyakan bahan seperti daging, susu, sayur-sayuran yang digunakan bukan daripada sumber tempatan.

Katanya, semakin tinggi kebergantungan kepada bekalan makanan import semakin berisiko negara berhadapan dengan krisis sekuriti atau keselamatan makanan pada masa akan datang. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya