Gelaran warlord, pengkhianat, parasit tidak bantu kukuh parti - Hasni  - Utusan Malaysia

Gelaran warlord, pengkhianat, parasit tidak bantu kukuh parti – Hasni 

johor
Hasni Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad membidas tindakan segelintir kepimpinan UMNO yang memberikan gelaran negatif kepada rakan-rakan di dalam parti.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tindakan itu  tidak membantu mewujudkan sinergi kerjasama baik dalam kerajaan perpaduan ketika ini, sebaliknya menimbulkan ketidakstabilan.

Sehubungan itu, menurut beliau,  banyak panggilan lain khususnya yang positif boleh diberi apatah lagi kepada individu yang telah menabur jasa kepada masyarakat dan parti.

“Ini bukan masanya untuk melabel sesiapa sebagai warlord, pengkhianat atau parasit, itu semua tidak sesuai kerana ia bukannya pendekatan untuk mencari kebaikan, lebih lagi dalam usaha menstabilkan kerajaan.

“Begitu juga dengan usaha memberi ruang merayu ke atas mereka yang diambil tindakan, dipecat atau digantung kerana apa juga kaedahnya, masalah yang ada tidak selesai, jadi apa baiknya kalau ditambah dengan memberi label negatif kepada orang tertentu dan pemimpin tertentu,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Penyerahan Replika Cek Southern Volunteers Prihatin di Kota Iskandar, di sini semalam.

Kelmarin, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman meminta pemimpin dan ahli UMNO yang mempunyai rasa kurang senang hati dengan hala tuju baharu parti agar tidak menjadi parasit yang hanya akan merosakkan parti.

Abdul Halim dilaporkan berkata, golongan berkenaan sepatutnya menggunakan saluran parti untuk menyatakan sebarang pendapat dan bukan buat kenyataan terbuka semata-mata demi publisiti.

Sementara itu, Hasni yang juga bekas Pengerusi UMNO Johor akui maklum dirinya dikaitkan dengan desas-desus beberapa pemimpin UMNO Johor bakal beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Ya, saya ada terima pertanyaan berhubung perkara itu, tetapi saya tidak mahu jawab kerana pada saya, penjelasan tidak akan memberi sebarang erti kalau masih dilabel dengan nama-nama sedemikian sedangkan boleh sahaja dipanggil dengan nama-nama yang lebih baik.

“Jadi saya tidak mahu ambil endah langsung pasal itu kerana situasi politik semasa memerlukan kita untuk terus pandang ke depan,” jelasnya lanjut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN