Empat jabatan Polis lakukan operasi kesan suspek hantar surat

Empat jabatan Polis lakukan operasi kesan suspek hantar surat ugutan 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan suspek yang menghantar surat ugutan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada 1 Jun lalu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi berkenaan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. 

Kata beliau, siasatan berkenaan akan dilakukan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.

“PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi serta mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, pemeriksaan awal terhadap sampul surat yang dikirim tersebut mendapati terdapat enam keping replika wang kertas atau duit mayat dan sekeping nota berbentuk amaran agar pihak polis Kontinjen Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri berkenaan.

Ujar beliau, selain itu, turut dinyatakan melalui surat layang tersebut nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran itu diendahkan.

“Satu laporan polis dibuat mengenai sepucuk surat amaran dan ugutan yang dialamatkan kepada Ketua dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang.

“Surat layang tersebut yang dimasukkan di dalam sampul surat diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, Kok Chin menegaskan beliau dan seluruh pasukan PDRM dan kontinjen negeri itu tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak akan tunduk kepada mana-mana ancaman atau ugutan.

Sebaliknya, tegas Kok Chin, beliau akan terus mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang mengugut atau mengancamnya serta PDRM Kontinjen Pulau Pinang.

”Ugutan atau ancaman sebegini adalah merupakan perkara yang lumrah dan sentiasa dihadapi oleh pihak polis dalam melaksanakan tugas membanteras kegiatan dan aktiviti haram oleh mana-mana pihak atau sindiket haram.

”Sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, saya dan seluruh pasukan PDRM Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya