Eddin Syazlee digugurkan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Eddin Syazlee digugurkan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan

EDDIN SYAZLEE SHITH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta.

Kedudukan beliau itu digantikan oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara tersebut.

“Ya benar mengenai itu, cuma ia belum diumumkan sahaja (secara rasmi), saya juga telah dimaklumkan sendiri oleh Datuk Eddin menerusi WhatsApp malam kelmarin.

“Apa yang saya terima ini, beliau hanya digugurkan selaku Pengerusi PN Negeri Sembilan, tetapi saya tidak pasti sama ada beliau masih lagi Pengerusi (Ketua Badan Pimpinan) Bersatu Negeri Sembilan atau tidak, saya tidak dapat maklumat,” katanya.

Sementara itu, ditanya punca pengguguran tersebut, Rafiei memaklumkan ia di luar pengetahuan beliau.

“Kenapa digugurkan ia di luar pengetahuan saya bagaimanapun saya yakin dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, PN sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk menghadapi PRN ini dengan langkah yang betul.

“Segala persiapan atau persediaan perlu dibuat mengikut apa yang dirancang, saya tidak pasti sebab utama tetapi saya rasakan kemungkinan besar ada kaitan dengan persiapan untuk menghadapi PRN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengakui desas-desus akan berlakunya pengguguran Eddin Syazlee sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan telah didengari lebih awal.

“Bagi pihak Pas dalam konteks PN ini kami sebagai parti komponen tetapi hal dalaman dengan parti Bersatu atau parti-parti lain kami pihak Pas hanya mengikutinya sahaja dan juga ambil maklum

“Tetapi kami tidak akan campur tangan jauh walaupun dengar juga tentang desas-desus kemungkinan itu,” katanya lagi.

Utusan Malaysia menghubungi Eddin Syazlee bagi mendapatkan komen beliau namun gagal dan panggilan tidak berjawab.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya