Dua suspek ditahan setengah jam selepas melakukan samun - Utusan Malaysia

Dua suspek ditahan setengah jam selepas melakukan samun

TANGKAP layar video kejadian samun di sebuah restoran 24 jam di S2 Height, Seremban awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua penjenayah berputih mata apabila ditahan polis setengah jam selepas melakukan samun di sebuah restoran 24 jam di S2 Height di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada pukul 5.10 pagi itu kedua-dua suspek lelaki berusia 19 dan 21 tahun bersenjatakan parang dan cota.

“Ketika kejadian tiada pelanggan berada di restoran tersebut. Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pembantu restoran melaporkan premisnya disamun dua lelaki.

“Hasil siasatan mendapati suspek meluru masuk dalam premis dengan mengacukan senjata berkenaan ke arah pekerja seterusnya mengambil sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan tablet milik restoran di kaunter juruwang. Pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM2,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, bertindak atas maklumat, suspek berusia 19 dan 21 tahun itu berjaya ditahan di Taman Permai, Seremban kira-kira pukul 5.45 pagi iaitu setengah jam selepas melakukan jenayah samun tersebut. 

“Pihak polis turut membuat rampasan beberapa barang kes termasuklah sebuah motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian ini. 

“Suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi melengkapkan siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN