Dua pelajar tingkatan lima keracunan metanol disahkan meninggal

Dua pelajar tingkatan lima keracunan metanol disahkan meninggal dunia

HOSPITAL Queen Elizabeth, Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dua pelajar yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini akibat keracunan metanol pada 9 Jun lalu disahkan meninggal dunia semalam dan Rabu lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, salah seorang pelajar yang kritikal iaitu Leo Castelo Jason,17, disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan pada 14 Jun, kira-kira pukul 4.08 petang manakala seorang lagi mangsa iaitu Zammuel Martin,17, disahkan meninggal dunia pada pukul 4 petang, semalam.

“Punca kematian yang dinyatakan pegawai perubatan adalah kegagalan pelbagai organ serta kecederaan teruk pada otak akibat keracunan metanol.

“Mayat tidak perlu dibedah siasat berikutan punca kematian diperoleh dan mangsa meninggal semasa menerima rawatan.

“Kes diklasifikasi semula sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan satu kematian direkodkan membabitkan seorang daripada 27 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Pitas yang dirawat akibat keracunan metanol.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Asits Sanna berkata, satu kematian dilaporkan pada Rabu lalu di ICU HQE 1 disebabkan kegagalan pelbagai organ akibat keracunan metanol manakala seorang lagi mangsa memerlukan alat bantuan pernafasan dan sedang dirawat di ICU HQE 2. 

Setakat 10 pagi semalam, JKNS menerima 48 notifikasi mengenai mangsa disyaki keracunan mentanol dan seramai 27 pelajar disahkan keracunan metanol berdasarkan kepada keputusan makmal dengan dua kes dirawat di ICU.

“Seramai 25 pelajar sudah discaj daripada rawatan hospital. Keputusan sampel proxy ujian peratus metanol disahkan mengandungi 89 peratus kandungan mentanol oleh Jabatan Kimia Malaysia pada 12 Jun lalu,” katanya.

Jelas Asits, sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan, mereka perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.

Sebelum ini, Zairolnizal menyatakan siasatan polis mendapati sekumpulan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di sebuah sekolah di Pitas bertindak mencampurkan minuman 100 plus dengan dua botol Spirit bagi menghasilkan minuman yang memberi kesan sama dengan alkohol.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN