PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional dengan hasrat itu perlu dilihat secara holistik.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, idea penubuhan agensi itu dicetuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) awal tahun ini sebagai salah satu inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Tambahnya, kajian awal pihaknya mendapati penubuhan agensi sekuriti makanan negara hendaklah merangkumi empat aspek utama iaitu elemen ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemapanan.
“Oleh itu penubuhan agensi sekuriti makanan negara memerlukan penilaian lanjut berkaitan implikasi perundangan, kewangan, sumber manusia dan penyelarasan semula fungsi serta peranan antara kementerian,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Agensi Makanan Malaysia dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional.
Selain itu, Foong Chin berkata, pihaknya turut komited memastikan keterjaminan makanan khususnya dalam membentuk sistem pengeluaran makanan negara yang berdaya tahan dan membantu pihak pengeluar makanan.
Katanya, kerajaan turut mengamalkan pendekatan rentas kementerian bagi memastikan sistem makanan negara mantap dan berfungsi dengan cekap dan produktif dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan
“Antara usaha yang dilaksanakan adalah peruntukan infrastruktur yang moden dan cekap, pemberian insentif, sokongan dalam bentuk khidmat nasihat dan teknikal, geran, dana pembiayaan, pengecualian cukai, subsidi dan akses pasaran serta padanan perniagaan,” katanya.-UTUSAN










