Daftar haji hari ini tunggu giliran 148 tahun lagi

Daftar haji hari ini tunggu giliran 148 tahun lagi

Syed Saleh Syed Abdul Rahman berucap di hadapan jemaah haji dalam majlis pelantikan sahabat maktab di Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Rakyat Malaysia yang baru mendaftar haji perlu me­nunggu sehingga 148 tahun sebelum tiba giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ketika ini terdapat 3.8 juta individu yang telah mendaftar sedangkan kuota diberikan oleh Arab Saudi ialah 31,600 jemaah setiap tahun.

Umpama mati dua kali dan hidup balik, tempoh yang amat panjang itu mungkin tidak dapat dipenuhi kerana rata-rata usia manusia ketika ini antara 60 hingga 70 tahun.

Giliran mengerjakan haji bergantung kepada sebanyak mana pendaftaran yang dilakukan dalam tahun berkenaan. Jika berlaku kematian, giliran itu turut dikira selagi waris si mati tidak memaklumkan kepada Tabung Haji untuk dibatalkan.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, oleh sebab itu jemaah yang mendapat giliran perlu bersyukur kerana dipilih mengerjakan haji walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Katanya, ia merupakan nikmat kurniaan Allah yang tidak terbanding dengan dugaan terutama ketika masyair dan keadaan di tanah suci ketika ini.

“Jemaah kena pegang dua kata kunci iaitu syukur dan sabar yang perlu dipraktikkan dalam apa juga waktu serta keadaan walaupun bukan mudah.

“Masih ramai yang menunggu untuk menunaikan haji dan kita di sini yang dipilih. Tanda orang bersyukur ialah memperbanyakkan ibadat dan membantu sesama jemaah,” katanya ketika me­nyempurnakan pelantikan sahabat maktab 79 dan 80 di Hotel Land Premium di sini semalam.

Menurut Syed Saleh, sifat sabar bermula di Malaysia lagi apabila perlu memenuhi pelbagai syarat dan dokumen dalam tempoh singkat, namun pada masa sama ada pelbagai kekangan.

Tambahnya, apabila di tanah suci, karenah rakan sebilik, cuaca panas yang dijangka mencecah 50 darjah Celsius ketika masyair dan banyak lagi pula akan dilalui jemaah.

“Ada kaum ibu mengadu pada saya minta disampaikan pesanan supaya orang lelaki mengurangkan merokok. Nasihat saya ambil peluang di tanah suci ini untuk berhenti merokok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN