Dadah: Kontraktor terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Dadah: Kontraktor terlepas hukuman gantung

WONG SHEE KAY bersalaman dengan peguam belanya, Mohd. Daud selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor perabot dan renovasi menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini melepaskan dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

Wong Shee Kay, 53, dilepaskan dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya memaklumkan, mahkamah telah menimbangkan secara maksimum semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan.

Menurutnya, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ 3692.

Jelasnya, fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

“Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut. Mahkamah berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan,” katanya.

Justeru, Abu Bakar menjelaskan, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Shee Kay didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 84.44 gram (g), Monoacetymorphines 116.1g dan Methamphetamine 1.7 kilogram.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 6.30 petang di dalam sebuah kereta Perodua Kembara di hadapan sebuah kedai di Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini pada 31 Oktober 2018.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesahan.

Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan kes itu. Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya