Covid-19, gelombang haba punca demam, selesema - Utusan Malaysia

Covid-19, gelombang haba punca demam, selesema

ORANG ramai memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan Covid-19-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes-kes demam, batuk dan selesema yang menular sekarang berpunca dua faktor iaitu kemungkinan jangkitan Covid-19 serta gelombang haba.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, sikap masyarakat yang memandang ringan wabak Covid-19 dan mengabaikan SOP mungkin mengakibatkan seseorang itu dijangkiti wabak tersebut tanpa disedari.

Justeru menurut beliau, tidak mengejutkan apabila kini berlaku peningkatan kes selesema, demam dan batuk yang merupakan simptom Covid-19.

“Sejak April 2021 kita sudah ambil ringan dan mengambil Covid-19 sebagai satu endemik. Kita sudah tidak pakai pelitup muka, kita juga sudah meng­anggap terpaksa hidup bersama dengan wabak Covid-19.

“Maka, walaupun sekarang kita ada Covid-19 yang mungkin mendorong batuk dan selesema, kita mungkin terpaksa meneruskan kehidupan dengan Covid-19.

“Jadi, ramai yang mungkin ada (terkena jangkitan) tapi kita tiada simptom teruk dan tidak menganggap ia satu simptom Covid-19. Kita juga tak periksa, maka kita tak tahu berapa banyak kes-kes Covid sekarang,” katanya di sini, semalam.

Sharifa Ezat berkata, feno­mena suhu panas yang melanda negara juga merupakan faktor peningkatan kes demam, batuk dan selesema.

“Kes batuk dan selesema sekarang ini juga mungkin akibat fenomena kepanasan yang dipanggil gelombang haba. Ini menyebabkan ramai batuk dan selesema serta rengsa di tekak.

“Ini selalunya kes-kes yang sedikit ini tidak memerlukan seseorang itu masuk wad. Bagaimanapun dalam kes begini ada juga kes batuk, selesema dan demam yang teruk,” kata­nya.

Justeru, katanya masyarakat perlu peka dengan tahap kesihatan masing-masing dan segera mendapatkan rawatan jika me­nunjukkan jangkitan teruk se­perti influenza, demam campak disusuli batuk serta keradangan tonsil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×