PETALING JAYA: Daerah Bentong di Pahang masih catat satu-satunya kawasan yang berada pada suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah selsius tahap satu (berjaga-jaga).
Status cuaca panas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pukul 4.30 petang semalam merekodkan kawasan lain di negara ini masih berada pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah selsius.
Jabatan itu merekodkan tiada kawasan berada pada tahap dua (gelombang haba) dan tahap tiga (gelombang ekstrem haba).
Sementara itu, berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 1 petang hari ini, tiada kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Sebanyak 26 stesen pula mencatatkan bacaan IPU baik manakala 42 kawasan sederhana.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kerajaan belum berhasrat mengisytiharkan darurat susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 1/2023 berkata, jika cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius, kerajaan akan mengaktifkan segera Arahan No 20 MKN. -UTUSAN