Banyak kes rasuah industri perkapalan tidak dilaporkan -MASA

Banyak kes rasuah industri perkapalan tidak dilaporkan -MASA

NORAZLAN Mohd. Razali bersalaman dengan pemilik-pemilik kapal pada Majlis Simposium Antirasuah bersama Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia di Wisma MISC, Cyberjaya. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) mengakui banyak kes ketirisan dan rasuah berlaku dalam industri perkapalan negara, namun tidak dilaporkan.

Pengerusinya, Mohamed Safwan Othman berkata, berdasarkan jumlah laporan semasa, ia tidaklah banyak seperti negara-negara jiran dan negara lain di dunia, namun, kes masih tetap berlaku.

“Daripada data rasmi yang dikeluarkan, jumlah kes dilaporkan masih pada tahap minimum, namun, bila dirujuk kepada industri, rupanya banyak kes tidak dilaporkan.

“Disebabkan itu, kami tidak dapat merumuskan bahawa kes rasuah dalam industri perkapalan ini kurang atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Simposium Antirasuah Bersama Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis simposium itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali.

Katanya, pihaknya mendapati kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana mahu menjaga reputasi perniagaan dan klien pada masa yang sama.

Mohd Safwan berkata, antara kes dilaporkan termasuk kes meminta karton rokok bagi mempercepat urusan di pelabuhan dan kes penjualan minyak diesel subsidi kepada pihak ketiga di lautan.

Menurutnya, kerjasama dengan SPRM penting bagi memberi kesedaran kepada komuniti industri perkapalan tentang bahayanya rasuah kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara dan industri itu sendiri.

“Selain itu, MASA turut bekerjasama dengan Petronas dan beberapa klien lain bagi meningkatkan kesedaran selain melaporkan kes berkaitan kepada pihak berkuasa.

“Kami dimaklumkan oleh Petronas bahawa syarikat gergasi minyak dan gas itu mengalami kerugian kira-kira RM300 juta setahun akibat aktiviti penyeludupan diesel subsidi,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling kapal dan sistem pemantauan minyak kapal bagi menghalang aktiviti penjualan minyak diesel subsidi,” katanya.

Sementara itu, Norazlan berkata, walaupun jumlah kes yang dilaporkan membabitkan rasuah kecil, namun, ia bukanlah satu justifikasi bahawa perkara itu tidak serius.

Menurutnya, pihaknya mengakui turut menerima maklumat berhubung isu rasuah dalam industri perkapalan membabitkan kesalahan menerima dan memberi rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa. 

“Semua aduan ini disiasat dan ada yang mengakibatkan pekerja syarikat terbabit didakwa di mahkamah seperti yang berlaku baru-baru ini pada Februari lalu,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN