Atlet Negeri Sembilan terima insentif menang pingat di Sukan SEA Kemboja - Utusan Malaysia

Atlet Negeri Sembilan terima insentif menang pingat di Sukan SEA Kemboja

AMINUDDIN Harun (depan, tujuh dari kanan) bergambar bersama para atlet dan pegawai persatuan sukan pada Majlis Insentif Kemenangan Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 20 atlet dari negeri ini yang memenangi pingat dalam temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja pada Mei lalu menerima insentif masing-masing dalam satu majlis di sini petang tadi.

Mereka menerima habuan antara RM1,500 hingga RM5,000 berdasarkan pingat yang dimenangi dalam kejohanan berkenaan.

Antara pemenang pingat emas yang menerima insentif itu ialah Shahmie Irfan Suhaimi dalam sukan hoki, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Sam Jee Lek (dance sports).

Secara keseluruhannya para atlet dari negeri ini menggondol tiga pingat pingat emas, perak (tujuh) dan gangsa (10) dalam temasya tersebut.

Insentif tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohammad Taufek Abd. Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.

Aminuddin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, insentif yang dianugerahkan kepada para atlet berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM42,500.

Jumlah itu, katanya, meningkat berbanding RM19,500 yang diberikan untuk atlet yang meraih pingat dalam Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

“Insentif ini diperkenalkan bertujuan meningkat, menggalakkan serta memberi motivasi kepada para atlet Negeri Sembilan yang mewakili negara ke temasya sukan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk sukan di Malaysia

“Kerajaan negeri sangat bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet Negeri Sembilan yang telah mengambil bahagian dalam Sukan SEA sekaligus mencipta kemenangan di sana,” katanya.

Aminuddin menarik perhatian, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada semua agensi dan persatuan sukan negeri supaya lebih ramai atlet dari negeri ini bersaing mewakili negara dalam sukan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, program pembangunan akar umbi perlu di perkukuhkan dengan lebih komprehensif yang mana pemegang taruh iaitu Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Belia dan Sukan negeri, persatuan sukan negeri dan sekolah sukan negeri perlu saling berkolaborasi untuk melahirkan atlet di peringkat negeri seterusnya dipilih ke peringkat kebangsaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN