KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah dilantik pengarah pilihan raya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Tengku Razaleigh atau Ku Li adalah individu tepat untuk mengetuai gerak kerja PH-BN.
Katanya, ketokohan veteran UMNO itu mampu memberi impak kepada gabungan parti kerajaan perpaduan itu untuk mencapai keputusan positif pada PRN.
“Kalau diberikan peluang saya cadangkan Ku Li untuk mengetuai jentera PH-BN di negeri ini dan saya yakin dengan adanya beliau, kita akan dapat melihat satu gelombang baharu di negeri ini.
“Sejak pemergian bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga kini, belum ada tokoh yang menjadi ikon politik di negeri ini. Yang ada hanya Ku Li,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Ibu Pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini, semalam.
Wan Abdul Rahim memberitahu, beliau yakin BN masih mempunyai peluang untuk mempertahankan lapan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Katanya, dengan sokongan dan bantuan daripada PH jumlah kerusi tersebut mungkin boleh digandakan pada PRN nanti.
“Untuk seluruh negeri kita masih memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRU14 di samping tumpuan kepada beberapa kerusi lain.
“Kita yakin BN masih ada peluang yang baik untuk mempertahankan lapan kerusi berkenaan, malah dengan sokongan PH melalui kerjasama di bawah nama Kerajaan Perpaduan ia mampu digandakan menjadi 16 kerusi,” ujarnya.
Bekas Pengerusi Amanah Kelantan itu berkata, semua itu bergantung kepada susunan yang akan dibuat oleh pihak Sekretariat Kerajaan Perpaduan nanti.
“Saya dimaklumkan pembahagian kerusi antara BN dan PH sudah 90 peratus selesai tetapi belum muktamad. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama belum diputuskan.
“Keputusan mungkin dibuat oleh pimpinan nasional dalam masa terdekat. Selain itu, Amanah turut memberi tumpuan kepada kawasan Tanjung Mas tetapi kita tunggu dahulu penyelesaian di DUN Kota Lama,” ujarnya. – UTUSAN









