PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan mengejut ke atas Kamala Das yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun.
Di dalam kunjungan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa di rumah Kamala iaitu di Taman Utama Ampang, Selangor selama satu jam bermula pada 11.30 pagi, hari ini.
Selain daripada bertanya khabar dan beramah mesra dengan Kamala serta keluarganya, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah dan ucap selamat secara peribadi kepada Kamala yang menyambut ulang tahun kelahiran pada ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu.
Dalam kunjungan tersebut, Seri Paduka Baginda Berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan cenderakenangan sempena ulang tahun kelahiran disambut oleh Kamala.
Untuk rekod, Kamala dilahirkan pada 5 Jun 1923 di Tapah, Perak dan beliau juga merupakan ibu kepada beka wartawan sukan, Datuk George Das, manakala suaminya, GA Das sudah meninggal dunia ketika usia 62 tahun iaitu pada 1972.
Kamala mempunyai 11 orang anak, 21 cucu dan 21 cicit. -UTUSAN