PETALING JAYA: Lebih 9.6 juta pengundi akan menentukan pemerintah di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka pada akhir Julai atau awal Ogos ini.
Jumlah pengundi itu berdasarkan rekod pemilih induk Ogos 2020 iaitu data yang sama digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika semua enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada akhir bulan ini, maka kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada minggu kedua Julai.
“Tempoh kempen paling sesuai ditetapkan 11 hari. Jadi dari situ, pilihan raya negeri dijangka berlangsung pada akhir Julai atau awal Ogos. Paling lewat pun mungkin pertengahan Ogos kerana perlu selesai sebelum Hari Kebangsaan 31 Ogos.
“Ini kerana pasukan keselamatan perlu melakukan persiapan menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos. Jika negeri itu buat berasingan, negeri ini buat pilihan raya hari lain, ia akan menyusahkan mereka.
“Selain itu, tarikh penerbangan balik terakhir jemaah haji perlu diambil kira SPR untuk memberi peluang pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Bahang PRN di enam negeri sudah bermula susulan penetapan tarikh pembubaran DUN Kelantan dan Negeri Sembilan.
DUN Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun dan Negeri Sembilan 30 Jun ini manakala empat negeri lain dijangka mengumumkannya minggu depan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad menjelaskan, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri perlu mengetepikan perbezaan politik untuk membubarkan DUN secara serentak bagi mengelakkan pilihan raya diadakan berasingan yang akhirnya merugikan duit rakyat dan membebankan petugas SPR.
Katanya, sekiranya semua pilihan raya diadakan bersama, ia mengurangkan beban rakyat selain memudahkan rakyat untuk pulang mengundi.
“Paling terbaik jika PRN diadakan serentak antara akhir Julai dan tidak lewat dari minggu pertama Ogos. Semua pihak berpeluang dan mempunyai ruang selesa untuk menghadapi pilihan raya sama ada SPR untuk persiapan, manakala calon serta parti pula akan membuat persediaan berdepan dengan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, pakar perlembagaan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, SPR hendaklah mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Katanya, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh dua bulan iaitu di antara Julai dan Ogos.
Menurut beliau, terdapat DUN yang bakal terbubar secara automatik pada hujung Jun dan ia tidak boleh dielakkan.
“Jika DUN bubar 30 Jun, maka kena buat pilihan raya pada 30 Ogos. Ini berdasarkan undang-undang pilihan raya dan Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR terima tarikh pembubaran DUN apatah lagi bubar secara automatik,” ujarnya. – UTUSAN










