4,000 pemilik rumah ‘berputih mata’ tunggu 20 tahun geran tanah

4,000 pemilik rumah ‘berputih mata’ tunggu 20 tahun geran tanah

SEBAHAGIAN penduduk mendesak masalah geran tanah mereka diselesaikan oleh pihak terlibat di Taman Lestari Putra, SerI Kembangan, Selangor. - UTUSAN/MAISARAH SHEIKH RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Kira-kira 4,000 pemilik rumah di Taman Lestari Putra di sini mendakwa belum menerima geran pemilikan tanah (individu) kediaman yang dibeli sejak 20 tahun lalu.

Penduduk mendakwa, masalah itu hanya diketahui selepas pemaju perumahan di sini diisytiharkan muflis pada 2010 serta tidak menjelaskan bayaran premium tanah kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyebabkan status hak tidak dapat ditukar kepada nama pemilik.

Wakil penduduk, Gopalan Balam berkata, mengikut rekod pihaknya, kira-kira RM4 juta anggaran kos premium tanah itu belum dilunaskan pemaju menyebabkan pemilik seolah-olah menduduki ‘tanah secara haram’ sekali gus memberi kesan kepada isu-isu berkaitan pewarisan atau jual beli aset semula.

“Selepas pemaju diisytihar muflis, mahkamah melantik pelikuidasi untuk menguruskan isu ini, namun, sehingga sekarang, tidak ada apa-apa tindakan seolah-olah diabaikan pihak-pihak berkenaan.

“Caj verifikasi yang dikenakan pihak pelikuidasi kepada pemilik juga tidak masuk akal dan tidak mampu dibayar kerana ramai antara pemilik sekarang ini sudah bersara, golongan B40 termasuk ibu tunggal,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Persatuan Penduduk LEP 4, Lt. Kol. (B), Mohamud Mohamad, penduduk sudah menghantar surat rayuan berhubung isu itu kepada Pejabat tanah Petaling, PTG termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas.

Beliau berkata, pihak-pihak terlibat juga berjanji mengambil tindakan secara berfasa sejak diputuskan dalam mesyuarat bersama pada Februari lalu, tetapi tiada aa-apa perkembangan dimaklumkan.

“Penduduk sudah membayar harga premium tanah kepada pemaju yang termasuk dalam kos membeli rumah, tetapi duit itu tidak dibayar kepada PTG. Jadi status tanah sekarang ini masih di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

“Jadi adakah kami selaku pemilik perlu membayar kali kedua kos premium tanah itu, diberikan diskaun atau perlu dimansuhkan terus bayaran itu. Ini yang menjadi persoalan,” katanya.

Beliau berkata, ada antara pemilik turut menghadapi isu berkaitan status rumah lot bumiputera yang dijual kepada bukan bumiputera oleh pihak pemaju tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Ini kerana pemaju tidak membuat permohonan pertukaran status dan tidak membayar perbezaan kos yang diambil daripada pembeli kepada Lembaga Perumahan Selangor.

“Kini kos tersebut dari RM 20,000 sehingga RM30,000 (termasuk penalti) dituntut oleh Lembaga Perumahan Selangor untuk diselesaikan oleh pemilik rumah walaupun tahu bahawa pemilik telah membayar kepada pemaju. Jadi pemilik kena bayar dua kali pula,” katanya.

Selain itu katanya, isu kos pengesahan pemilikan yang dikenakan pihak pelikuidasi juga sangat tinggi hanya semata-mata untuk mengeluarkan surat yang mengesahkan pemilik tinggal di lot tanah tersebut.

“Pihak pelikuidasi juga tak pernah turun padang untuk bincang dengan penduduk, kami pula kena pergi merayu tetapi tidak dilayan sedangkan mereka dilantik oleh mahkamah untuk menyelesaikan masalah penduduk.

“Kami sudah pergi merata tempat yang berkenaan membuat rayuan, tetapi tiada respons sehingga kini. Jadi kita harap keterbukaan pihak terbabit untuk jumpa Persatuan Penduduk LEP kami untuk memaklumkan perkembangan,” katanya.

Penduduk turut berharap suara mereka didengari dan mendapat perhatian mereka yang terlibat dalam urusan tanah khususnya Pejabat Menteri Besar Selangor, sekurang-kurangnya berkongsi maklumat dengan penduduk untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.