KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kerajaan mewujudkan satu pelan undang-undang perlindungan sosial yang lebih meluas buat rakyat di negara ini.
Penasihat Buruh Antarabangsa, Callistus Anthony D’Angelus berkata, perkara itu penting bagi mengelak ketidaksamaan ekonomi yang memperlihatkan jurang kemiskinan yang tinggi antara rakyat.
Menurut beliau, pelan undang perlindungan sosial perlu dilaksanakan segera untuk kepentingan rakyat seiring dengan insurans dan faedah pengangguran.
“Perlindungan dan hak kesatuan sekerja yang lebih luas selain undang-undang yang lebih ketat yang mengawal pemberhentian pekerjaan juga mesti dilakukan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu lebih serius mengenakan tindakan ke atas pengurusan kanan dan pengarah syarikat yang melanggar undang-undang buruh negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kata Callistus, transformasi ini perlu segera dilakukan agar ia dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama pekerja-pekerja yang menjadi nadi atau asas pertumbuhan negara.
PENINDASAN
Malah, beliau berkata, adalah sesuatu yang memalukan apabila pekerja-pekerja di Malaysia dengan sengaja dipinggirkan seperti melalui penindasan sistemik, hak mereka terus dinafikan dan keupayaan untuk mencipta kejayaan dan pertumbuhan ekonomi negara telah dirosakkan.
“Kami percaya, harapan untuk memulihkan keseimbangan dan kesaksamaan dalam trajektori sosio ekonomi negara itu ada melalui Pelan Reformasi Perdana Menteri yang menegaskan kesan ketidaksamaan ekonomi yang telah diakibatkan oleh pengabaian bertahun-tahun, rasuah yang diinstitusikan, dasar yang tidak sesuai dan kekurangan tadbir urus yang baik.
“Kita tidak mahu Malaysia terus diletakkan dalam kurungan negara berpendapatan sederhana berdasarkan ukuran Bank Dunia yang mana, pada tahun 2020, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan negara dengan pendapatan sebanyak RM2,208 (kira-kira AS$11 seorang sehari) adalah pada 8.4 peratus,” kata beliau.
Kata beliau, isu tersebut menimbulkan persoalan sampai bila isi rumah itu boleh mengekalkan taraf hidup yang layak dengan pendapatan RM2,208 sebulan, terutamanya di bandar- bandar besar.
“Golongan miskin semakin miskin, pertengahan dihimpit kemiskinan dan 1 peratus daripadanya semakin kaya dan merompak rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN











