KUALA LUMPUR: Malaysia akan melaksanakan percubaan klinikal ke atas manusia, dalam menguji ubat, prosedur atau rawatan baharu berbanding sebelum ini hanya dilakukan di makmal atau menggunakan haiwan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, fasa percubaan klinikal ke atas manusia yang pertama atau First-in-human (FIH) sudah dimulakan di Sarawak awal bulan lalu selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Menurut beliau, selain Hospital Besar Sarawak sebuah lagi pusat penyelidikan bagi disiplin itu akan dilaksanakan di Hospital Ampang, Selangor.
“Kita menggalakkan lebih banyak kajian atau syarikat-syarikat yang mahu memperkenalkan rawatan mereka melakukan FIH. Kita ada kemudahan, disiplin bila kita laksanakan kajian tersebut dan ini menarik minat banyak syarikat-syarikat untuk melakukan FIH di Malaysia,” kata beliau selepas melancarkan Hari Penyelidikan Klinikal 2023 dan forum anjuran Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) di sini semalam.
Kata Zaliha, dengan adanya fasiliti dan disiplin FIH ia berupaya menyumbang kepada pembangunan perubatan, sains, dan kewujudan terapi baharu menerusi kaedah penyelidikan klinikal pada masa depan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr. Akhmal Yusof berkata, kajian diusahakan di Hospital Besar Sarawak nanti kebanyakannya akan melibatkan penyelidikan berkaitan kanser.
Menurut beliau, persediaan percubaan penyelidikan klinikal ke atas manusia pertama itu juga sudah dilakukan lebih daripada 10 tahun yang dibuat secara berperingkat.
“Antaranya, hantar pakar belajar ke pusat yang lebih tersohor macam Princess Margaret Cancer Centre di Toronto dan akhirnya kita telah bersedia.
“Selain itu, berkat kesungguhan pasukan di Sarawak juga berjaya memupuk pengalaman supaya dapat membuat panduan.
Jelas beliau, ujian klinikal FIH itu juga akan sangat mementingkan keselamatan pesakit dan dipantau dengan lebih teliti bukan sahaja pemantau di pusat tetapi komuniti kesihatan yang lain terutamanya NPRA.
“(Namun) saya rasa perjalanan panjang dan buat masa ini belum lagi ada yang mendaftarkan sebagai produk untuk digunakan,” ujarnya. – UTUSAN










