KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) masih membuka tawaran kepada Khairy Jamaludin untuk menyertai parti itu termasuk jawatan dalam Majlis Tertinggi Bersatu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran tersebut masuk terbuka kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
“Dia adalah tokoh politik muda yang berkaliber. Sebenarnya dia tidak mohon untuk masuk, saya sebut di sini, saya tawar untuk dia menyertai kami. Tawaran itu masih ada.
“Saya jangka orang bukan Melayu juga akan nampak kita parti yang agak terbuka untuk semua. Kita ini gantian terbaik untuk memimpin negara. Kita serahkan pada Khairy untuk membuat keputusan, dia lelaki bijak. Dia tahu bila masa yang sesuai tetapi saya harap dia tahu juga masa suntuk, katanya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan Jun depan.
“Saya kata kalau dia menyertai Bersatu, saya tawarkan dia jawatan dalam Majlis Tertinggi parti. Kita ada dua kekosongan, jadi kalau dia sanggup, ada jawatannya. Ini bukan umpan, kita serahkan pada dia untuk tentukan,” kata beliau ketika ditemui sebuah hotel di ibu kota hari ini.
DISIPLIN
Pada Januari lalu, Khairy dipecat daripada UMNO selepas 23 tahun beliau bersama parti itu. Pemecatan tersebut disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Muhyiddin, penglibatan Khairy mampu menguatkan Bersatu terutamanya selepas dalam keadaan orang Melayu hilang kepercayaan kepada UMNO.
“Tidak mengapa, kita tidak mahu menggesa dia tetapi harapan kami, dia menyertai kita untuk membantu dan bina kekuatan parti kita. Ini kerana saya yakin semua dah tahu apa yang berlaku pada UMNO.
“UMNO hampir-hampir hancur lebur dibuatnya, rumah UMNO sudah menjadi sarang DAP. Minta maaflah, saya nak berkata ini mungkin menghancurkan harapn sebahagian besar ahli-ahli UMNO.
“Untuk Bersatu, kita tahu hala tuju kita. Kita perjuangkan semua orang Malaysia, pertahankan hak masing-masing dan kita telah buktikan dalam PRU15 yang lepas, gabungan Pas dan Bersatu didukung majoriti orang-orang Melayu,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Muhyiddin, Khairy tidak ditawarkan jawatan Menteri Besar malah katanya, Khairy juga tidak membuat sebarang permintaan berkaitan hal berkenaan.
“Kita tidak ada tawaran jawatan menteri besar dan sebagainya kepada Khairy. Dia juga tahu perkara ini dan dia sendiri katakan kemasukannya bukan ‘game changer’.
“Pada masa itu dia katakan dia tidak demand untuk jawatan. Dia faham politik itu bagaimana, hal-hal sebegini biasanya kita runding dan bincang,” ujarnya. – UTUSAN